Pelbagai usaha terancang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) berjaya mengurangkan kebergantungan terhadap pendapatan berkaitan petroleum kepada 14 peratus hari ini daripada sehingga 41 peratus semasa 2009, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tegas Perdana Menteri, usaha itu perlu diambil bagi mengelak pendapatan negara terjejas.

"Jika kami tidak melaksanakan transformasi yang perlu diambil, kami mungkin berdepan kesukaran pada hari ini berikutan cabaran hebat akibat penurunan harga minyak yang mendadak, sekali gus menjejaskan perolehan kerajaan yang banyak bergantung kepada hasil minyak," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian semasa temu bual bersama Pengurus Besar stesen berita Al Arabiya News Channel, Turki Aldakhil baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai formula kejayaan Malaysia yang turut mendapat pujian beberapa negara lain, yang menyifatkan Malaysia sebagai contoh kejayaan tadbir urus dan pembangunan yang baik.

"Kami perlu menilai apa yang telah dicapai setakat ini," katanya, yang mula memegang jawatan Perdana Menteri pada 2009.

Beliau menjelaskan antara cabaran yang dihadapi Malaysia adalah kemelut apa yang dipanggil negara berpendapatan sederhana.

"Oleh itu, kami memerlukan model baharu ekonomi untuk membolehkan kami keluar daripada masalah itu dan menjadi negara berpendapatan tinggi, negara maju sepenuhnya dengan ekonomi maju," katanya.

Najib berkata atas alasan itu beliau membentangkan Pelan Transformasi Negara yang turut merangkumi ETP dan Pelan Transformasi Kerajaan, kerana beliau enggan menerima keadaan negara yang tidak berubah dan perniagaan yang tidak mahu berganjak daripada kebiasaan.

"Kami perlu berani kerana mereka yang mahu membuat perubahan dalam sesebuah negara perlu juga bersedia untuk melaksanakan transformasi. Inilah sebenarnya apa yang telah kami lakukan selama ini.

"Kami memahami keperluan struktur ekonomi dan memilih kaedah kerja (berkaitan), dan kami memulakan pelaksanaan pelan menyeluruh. Pelan itu telah berhasil dan kejayaannya dapat dilihat hari ini," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memutuskan untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan, serta disokong langkah rasionalisasi kerajaan.

"Ini merupakan langkah-langkah perlu yang tidak popular dan mendapat banyak kritikan, namun kami tetap tegas.

"Dan hari ini, kami menyaksikan hasil daripada langkah-langkah yang telah kami laksanakan sejak beberapa tahun lepas," katanya.

Inisiatif ETP diperkenalkan Najib diuruskan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang ditubuhkan pada 2009.

Najib berkata Pemandu merupakan unit hibrid yang menggabungkan sektor swasta dan awam dengan matlamat memastikan pelaksanaan pelan peralihan yang telah dilancarkan.

"Anggota unit ini telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa negara Majlis Kerjasama Teluk dan Afrika, malah kami berkongsi pengalaman dengan mereka," katanya.

-- BERNAMA