Malaysia hari ini menyatakan keazaman untuk menuntut keadilan bagi mangsa pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh secara tragik pada 17 Julai, 2014.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan berkata Malaysia tetap bertegas dalam usaha untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.

Sehubungan itu, katanya Malaysia menghargai pembentangan laporan terkini dan hala tuju penyiasatan jenayah serta kenyataan-kenyataan media yang berkaitan oleh Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) diketuai Belanda.

"Kami akan mengkaji dapatan-dapatan yang terkandung dalam laporan itu secara terperinci," kata Wisma Putra.

Selepas empat tahun penyiasatan terhadap kejadian Penerbangan MH17 ditembak jatuh, JIT merumuskan bahawa pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu milik Rusia, BUK TELAR.

BACA: MH17 ditembak jatuh peluru berpandu tentera Rusia - Pasukan penyiasat

BACA: Rusia mahu anggotai pasukan penyiasat MH17

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawangnya semalam, JIT berkata pihaknya yakin BUK TELAR digunakan bagi menembak jatuh MH17, dan daripada Briged ke-53 Peluru Berpandu AntipPesawat (Briged ke-53), yang berpangkalan di Kursk, dalam Persekutuan Rusia.

Wisma Putra berkata sebagai antara anggota JIT, Malaysia merakamkan penghargaan terhadap semua kerja keras anggota JIT yang telah membolehkan maklumat kritikal berhubung insiden tragik itu dapat dirumuskan.

"Malaysia memuji kemajuan yang dicapai dalam perkara itu," katanya.

Wisma Putra berkata Malaysia telah secara konsisten menggesa dan menyokong proses penyiasatan yang telus, bebas dan menyeluruh.

Justeru, katanya Malaysia mengulangi gesaan JIT meminta orang ramai tampil untuk membantu proses penyiasatan dan menyalurkan keterangan sokongan tambahan terhadap dalang dan pihak yang terlibat secara langsung bagi memastikan keadilan ditegakkan.

"Ingatan dan doa kami sentiasa bersama-sama keluarga dan orang tersayang penumpang dan anak kapal MH17 yang sedang bersedih.

"Adalah menjadi tanggungjawab kami kepada mereka untuk melakukan apa sahaja yang terdaya bagi memastikan insiden tragik ini menemukan penamatnya," kata Wisma Putra.

Pesawat Boeing B777 itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di zon konflik di timur Ukraine pada 17 Julai, 2014. Kesemua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.

-- BERNAMA