Bagi mengaplikasikan ekonomi digital, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil pelbagai langkah dalam meningkatkan platform e-pembayaran, sekali gus menggerakkan negara ke arah masyarakat tanpa tunai.

Gabenor BNM Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata berkuat kuasa 1 Julai 2018, bayaran Pemindahan Segera sebanyak 50 sen, akan dimansuhkan bagi pemindahan sehingga RM5,000 setiap transaksi oleh individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bayaran cek bagaimanapun akan dinaikkan daripada 50 sen kepada RM1.00, bermula 2 Jan, 2021 bagi menunjukkan kos pemprosesannya yang lebih tinggi.

"Ekonomi digital yang meningkat, akan memerlukan kaedah e-pembayaran, yang merupakan komponen kritikal yang boleh meningkatkan produktiviti selain lebih cekap dari segi kos," katanya pada Forum dan Pameran Sistem Pembayaran di sini hari ini.

BNM melancarkan pelan e-pembayaran 10 tahun pada 2011, dan setakat ini, jumlah jumlah cek merosot 42 peratus, daripada 205 juta pada 2011 kepada hanya 120 juta tahun ini.

Sebaliknya, pemindahan dana elektronik telah meningkat daripada 66 juta transaksi pada 2011 kepada kira-kira 329 juta pada 2017.

"Pada kadar penurunan semasa ini, kita dapat mencapai sasaran mengurangkan penggunaan cek kepada 100 juta pada 2019, setahun lebih awal daripada jadual," kata Muhammad.

Sejak 2009, industri melabur RM893 juta untuk meningkatkan infrastruktur e-pembayaran, dan akan melabur RM346 juta lagi bagi mengembangkan rangkaian terminal jualan (POS) serta RM40 juta untuk membangunkan platform pembayaran runcit masa nyata.

Muhammad juga berkata teknologi pembayaran kini lebih maju, berskala dan berkos rendah, yang memberi manfaat kepada peniaga secara langsung, memandangkan kos operasi mereka dapat diturunkan menerusi 'Quick Response' (Kod QR).

"Kebanyakan rakyat Malaysia dijangka membawa kad debit dan telefon bimbit, dan pada masa ini, terdapat 45.4 juta kad debit dan langganan telefon bimbit sebanyak 42.8 juta. Kita perlu memanfaatkan dan mengoptimumkan medium ini," katanya.

Bagi menggalakkan penggunaan pembayaran kod QR, BNM telah mengeluarkan Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Operasi (ICTF).

"Buat pertama kalinya dalam sejarah, pelanggan bank dan bukan bank tidak lama lagi akan dapat memindahkan dana dalam keseluruhan rangkaian, dengan merujuk kepada nombor telefon bimbit, nombor pengenalan atau kod QR," katanya.

ICTF juga akan meningkatkan perlindungan pelanggan dan keyakinan mereka untuk menggunakan perkhidmatan pemindahan kredit. -- BERNAMA