Perbelanjaan pertahanan Malaysia akan terus meningkat selepas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memulakan pelan jangka panjang untuk memodenkan dan menaik taraf peralatan mereka, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata RM26 bilion diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RM11) untuk meningkatkan pertahanan, ketenteraman awam dan penguatkuasaan.

"Pertahanan dan keselamatan adalah paling penting kepada mana-mana negara kerana ia adalah satu keutamaan bagi mengekalkan keutuhan wilayah dan kedaulatan negara," katanya ketika berucap merasmikan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17) di sini hari ini.

Menurut beliau, Malaysia perlu melengkapkan angkatan tenteranya dengan keupayaan untuk menghadapi peperangan moden iaitu simetri dan asimetri.

"LIMA '17 telah menghimpunkan firma aeroangkasa dan maritim dari seluruh dunia untuk mempromosikan teknologi terkini mereka," katanya.

Perdana Menteri berkata penganjuran LIMA adalah seiring dengan keperluan untuk melengkapkan ATM dengan keupayaan untuk menghadapi peperangan moden.

"Kami sangat berbangga kerana LIMA terus menjadi laluan masuk berkesan kepada satu daripada pasaran terbesar aeroangkasa dan maritim dunia dan ia telah menjadi kalendar acara global utama," katanya.