Kejayaan Malaysia mengurangkan kadar kematian ibu bersalin mendorong banyak negara membangun untuk mencontohi pendekatan dilaksanakan kerajaan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.

Beliau berkata Malaysia telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan kadar kematian ibu bersalin hanya sebelas orang bagi setiap 100,000 kelahiran hidup menjelang 2015.

Menurut sumber Kementerian Kesihatan kadar kematian ibu bersalin ialah 28 orang bagi setiap 100,000 pada tahun 2000, dari 770 orang pada 1940.

Berucap merasmikan seminar Masalah Perubatan Semasa Kehamilan anjuran Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini Sabtu, beliau berkata, antara punca utama kematian ibu bersalin adalah obstetriks kecemasan seperti pendarahan dan embolism.

Katanya, bagi memastikan kadar kematian terus berkurangan dan memenuhi sasaran 2015 itu, kerajaan mengambil beberapa langkah termasuk menyediakan kemudahan dan meningkatkan kualiti kesihatan ibu, perkhidmatan perancang keluarga dan kualiti perkhidmatan obstetriks.

Selain itu kerajaan juga melakukan penambahbaikan sistem rujukan dan maklumbalas, meningkatkan taraf profesional dan kecekapan petugas, melaksanakan sistem pemantauan kematian ibu dan kerjasama rapat dengan komuniti yang terlibat dengan proses kelahiran, terutama anggota kejururawatan serta bidan tradisional.

Dr Hilmi berkata, kerajaan juga melaksanakan sistem pemantauan dan laporan kematian ibu yang cekap dan sentiasa bekerjasama rapat dengan komuniti untuk mengubah tanggapan terhadap perubatan obstetriks moden.