Malaysia berminat untuk memperkukuh hubungan dalam pelbagai bidang dengan negara-negara Eropah seperti Lithuania dan Romania, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (gambar).

"Ini sesuatu yang tidak pernah kita lakukan sebelum ini, memandangkan mereka kini sedang berkembang dan memandang ke hadapan, yang bermakna lebih peluang," katanya.

Oleh itu, Putrajaya berminat untuk mengukuhkan hubungan antara kerajaan dengan kerajaan, dan begitu juga dari segi perdagangan dan pelaburan, katanya kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Luar Lithunia, Linas Linkevicius dan Menteri Luar Romania, Titus Corlatean di sini Selasa.

"Kami berbincang mengenai cara terbaik untuk meningkatkan hubungan dan menjalin kerjasama. Kami berbincang mengenai hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dan bagaimana untuk menarik lebih ramai ahli perniagaan membabitkan diri antara negara-negara," katanya di luar mesyuarat Menteri-menteri Luar Asia-Eropah (ASEM) ke-11 yang berakhir hari Selasa.

Khusus untuk Lithuania, mereka berminat untuk mempromosi bidang pengajian perubatan kepada Malaysia.

"Saya memaklumkan kita akan meneliti perkara itu (pengajian perubatan) dan mengkajinya. Mereka juga mahu mempromosi industri pelancongan mereka," kata Anifah.

Lithuania merupakan sebuah negara di utara Eropah manakala Romania adalah sebuah negara yang terletak di persimpangan kawasan tengah dan tenggara Eropah, bersempadan dengan Laut Hitam.

Dalam perkembangan lain, Anifah berkata beliau mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya dari Lithuania kerana memenangi kerusi yang diinginkan negara itu di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) 2014-2015.

"Mereka berterima kasih kepada Malaysia yang memberi sokongan kepada mereka dan sudah tentu mereka bersetuju membalasnya dengan menyokong kita," katanya.

Sebelum ini, Anifah berkata Malaysia akan berusaha untuk mendapatkan kerusi dalam UNSC bagi penggal 2015-2016.