Malaysia bernasib baik kerana Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara sebelum Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan dengan kos awal, kata penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Barjoyai Bardai.

Beliau berkata pendekatan kerajaan baharu dalam menilai semula projek itu adalah tepat kerana ia bukan sahaja dapat mengurangkan kos yang tidak sepatutnya, tetapi juga dapat meningkatkan kesan daya maju atau viability kepada kawasan di sekitar laluan jajaran projek itu.

“Kalau kita tengok strategi perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaik sahaja beliau ambil alih tampuk pemerintahan, beliau beritahu kita perlu berhentikan projek, baru buat rundingan.

“Maknanya, kita belum berhutang betul- betul, dan kita mempunyai asas untuk berunding,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Sebelum ini, perdana menteri berkata ECRL akan diteruskan dengan kos RM44 bilion, dan ia dilihat akan memberikan lebih manfaat kepada rakyat tempatan, berbanding perancangan sebelum ini.

Dr Mahathir berkata impak positif itu dapat dilihat susulan peratusan penyertaan rakyat tempatan kini dinaikkan kepada 40 peratus, 10 peratus lebih daripada perjanjian asal.

Dalam pada itu, Dr Barjoyai berkata ECRL bakal menjadi tulang belakang untuk memacu pembangunan Malaysia di abad ke-21.

“Sebab kalau kita tengok paling penting jajaran dari Kuantan ke Port Klang, ia telah merentas Pantai Timur ke Pantai Barat dan wujudkan perusahaan barat, memendekkan perjalanan kapal ataupun perjalanan barang barang kontena daripada Kuantan ke Port Klang, tak perlu lalu Singapura,” katanya lagi.

Sebelum ini, seorang ahli ekonomi Amerika Syarikat berkata perjanjian baharu projek ECRL ini merupakan kejayaan besar bagi Dr Mahathir dan membezakan Malaysia daripada negara lain yang berurusan dengan kuasa besar Asia berkenaan.

Pengerusi Jabatan Ekonomi LIU Post, Panos Mourdoukoutas itu berkata Malaysia berani melakukan sesuatu yang gagal dilakukan oleh Sri Lanka, Pakistan, dan Filipina untuk membawa Beijing kembali ke meja rundingan bagi mengurangkan kos projek-projek pelaburan yang diluluskan kepada kontraktor China.