Kerajaan Malaysia akan sentiasa memperjuangkan bagi lebih banyak usaha untuk memastikan keamanan, kestabilan dan keselamatan di Asia Pasifik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata berdepan dengan pelbagai cabaran keselamatan, negara anggota ASEAN tidak boleh hanya berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa.

"Kita semua perlu menyumbang bagi 'pemupukan perkongsian masa depan', dan saya berharap dan berdoa bahawa selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan kemudiannya sidang kemuncak ASEAN dan sidang kemuncak berkaitan, kita akan mencapaian kemajuan ketara dalam berbuat demikian.

"Perhimpunan pemimpin-pemimpin dunia, seperti yang ini, perlu memanfaatkan peluang berkumpul bersama-sama ini untuk menimbangkan apa yang mereka semua boleh lakukan untuk mengambil tindakan secara kolektif," katanya dalam catatan di blog beliau www.najibrazak.com.my hari ini.

Najib, diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiba di Vietnam pada tengah hari Khamis untuk mesyuarat APEC dan sidang kemuncik pemimpin yang akan bermula pada Jumaat.

Najib dalam blognya itu turut menyebut bahawa Asia Pasifik berdepan pelbagai cabaran besar, daripada peningkatan ketegangan di Semenanjung Korea, masalah militan Daesh dan sekutunya di Asia Tenggara, sehinggalah isu penderitaan dan penganiayaan yang mengakibatkan penghijrahan besar-besaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Lautan Andaman dan di negara-negara jiran.

Beliau berkata bagi pihak Malaysia, Kuala Lumpur telah secara berterusan mengutuk sekeras-kerasnya siri ujian nuklear yang dijalankan oleh Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK).

“Siri ujian yang boleh membawa kepada musibah nuklear, yang boleh mengakibatkan kematian ratusan ribu orang, jikapun bukan jutaan; kesan radioaktif, penyakit kronik jangka panjang dan banyak orang akan kehilangan tempat tinggal – ini adalah sesuatu yang kita tidak boleh biarkan dalam abad ke-21 ini.

“Dalam mana-mana konflik, khususnya yang melibatkan senjata seumpama itu akan menimbulkan bencana bukan sahaja kepada Semenanjung Korea tetapi juga rantau ini dan melangkauinya.

“Senjata nuklear merupakan ancaman yang telah membawa terlalu banyak kerosakan pada separuh kedua alaf lepas, dan kita perlu mengambil semua langkah perlu untuk mengelakkan bahaya ini daripada menyelubungi separuh pertama abad ini,” katanya.

Berhubung Daesh, perdana menteri menegaskan Malaysia turut tidak terlepas daripada tempias kekejaman kumpulan militan itu yang telah mencetuskan huru-hara di Iraq dan Syria, dengan serangan pertama dikaitkan dengan Daesh berjaya digagalkan Polis Diraja Malaysia pada Jun tahun lepas.

Najib berkata kerajaan Malaysia telah memperkenalkan beberapa undang-undang bagi menangani keganasan sejak beberapa tahun lepas untuk mengatasi masalah itu selain bekerjasama dengan banyak negara lain dalam Global Coalition Against Daesh di peringkat antarabangsa.

“Dari saat kita melihat apa yang berlaku di Marawi City di Filipina baru-baru ini, jelas bahawa ancaman ini adalah satu hakikat dan wujud di rantau kami. Tiada siapa patut meremehkannya, dan saya tidak akan meminta maaf kerana mendahulukan keselamatan rakyat Malaysia.

“Tetapi cabaran ini perlu didepani menerusi beberapa cara: bukan sekadar pencegahan, tetapi juga dengan memerangi radikalisasi dan berusaha memulihkan mereka yang telah diperdayakan oleh penjenayah yang berselindung atas nama Islam,” katanya.

Perdana menteri berkata usaha Malaysia untuk menggalakkan konsep wasatiyyah, dan contoh digariskan dalam inisiatif Pergerakan Kesederhanaan Global, telah diiktiraf secara meluas dan diambil sebagai model oleh negara lain dan disahkan awal tahun ini dengan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Malaysia, yang merupakan satu pengiktirafan penting oleh Penjaga Dua Masjid Suci itu.

Berhubung tindakan pembersihan etnik di negeri Rakhine, Myanmar, Najib berkata Malaysia merupakan negara pertama menggesa tindakan diambil dan berjaya mencadangkan diadakan mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Yangon pada Disember lepas.

“Kami menganjurkan mesyuarat tergempar Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan nasib Rohingya pada Januari tahun ini. Dan kami telah menerajui banyak inisiatif kemanusiaan, menghantar barang keperluan dan membina sebuah hospital lapangan untuk membantu pelarian Rohingya di Bangladesh,” katanya.

-- BERNAMA