Malaysia membidas keputusan negara Perancis yang mengubah status minyak sawit sebagai bekalan bahan mentah untuk biodiesel di negara itu serta menghentikan insentif cukai bagi bahan tersebut menjelang tahun 2020.

Menurut Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, pendirian itu dijelaskan dalam surat daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang diserahkan kepada Duta Perancis di Kuala Lumpur pada Isnin.

Pada 19 Disember lalu, Dewan Negara Perancis membuat pindaan terhadap Bajet 2019 untuk mengubah status dan insentif cukai bagi minyak sawit.

Tegasnya dalam satu kenyataan pada Rabu, walaupun bahan tersebut tidak dilarang, syarat-syarat ketat yang dikenakan ke atas bahan biodiesel serta pelupusan insentif cukai seolah-olah suatu larangan ‘de-facto’ ke atas bahan itu.

“Keputusan tersebut akan menyebabkan sebanyak 30-40 peratus kenaikan harga minyak sawit di Perancis lalu serta-merta memberi manfaat kepada minyak keluaran Eropah lain, seperti minyak ‘rapeseed’ dan bunga matahari," ujar Saifuddin.


Beliau menambah, bahawa tindakan itu berbaur diskriminasi terhadap minyak sawit yang sering disalah tafsirkan sebagai punca penebangan hutan walaupun Malaysia telah berusaha untuk mengeluarkan bahan tersebut secara mampan dan bertanggungjawab kepada alam sekitar.

Tanaman minyak sawit Malaysiajuga merupakan pertama yang memperoleh pensijilan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) yang menjamin setiap titik minyak sawit yang dikeluarkan diiktiraf sebagai mampan menjelang tahun 2020.

BACA: Penggunaan sawit untuk biodiesel lebih lestari - MPOCC

BACA: Minyak sawit: Malaysia, Indonesia, Colombia akan bincang bantahan terhadap Perancis

Menurut Saifuddin, kawasan hutan kini meliputi 55.3 peratus daripada kawasan tanah keseluruhan negara. Ini lebih tinggi daripada kawasan hutan di negara Eropah terbesar seperti Perancis, Jerman, Itali dan Britain.

“Pertalian antara Malaysia dan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) bergantung kepada nilai-nilai yang dikongsi termasuk keadilan dan amanah. Dalam konteks tersebut, tindakan berbaur diskriminasi itu akan melemahkan nilai-nilai tersebut.

“Justeru, kita harus bekerjasama untuk mencari penyelesaian yang adil bagi semua pihak terbabit, terutamanya ekosistem bumi,” pesan beliau.