Ilmu falak bukan terhad kepada melihat anak bulan Ramadan atau Syawal sahaja sebaliknya ia bersifat universal yang meliputi semua bidang ilmu termasuk ilmu astronomi, kata Profesor Kehormat, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Datuk Dr Mohd Zambri Zainuddin.

Beliau berkata kecemerlangan ahli falak negara mengadakan kajian secara saintifik 'Hilal' (anak bulan) menyebabkan Malaysia antara negara Islam yang berada di hadapan dalam bidang falak malah disegani oleh negara maju seperti Turki.

"Malah beberapa buah negara Islam lain seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyatakan minat untuk belajar dengan Malaysia dalam melahirkan ahli falak.

"Kita sebagai rakyat Malaysia perlu berbangga kerana berjaya membawa kegemilangan ilmu falak ke negara ini," katanya kepada pemberita pada Persidangan Jawatankuasa Rukyah Seluruh Malaysia Dan Ketua Pegawai Falak Malaysia, yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, di sini pada Selasa.

Mohd Zambri yang juga panel pakar falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata dengan kejayaan menyimpan rekod merukyah hilal (melihat anak bulan) selama hampir 19 tahun bermula 2000, Malaysia berpotensi untuk dijadikan sebagai pusat rujukan meramal kedudukan bulan pada masa akan datang dan ianya bakal memberi sumbangan besar dunia Islam.

"Kini kita berjaya mengumpul data satu kitaran drakonik iaitu 18.612958 tahun dan hanya perlu melengkapkan satu kitaran lagi bagi membuat ramalan statistik anak bulan di seluruh dunia pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA