Malaysia berpeluang untuk menerajui agenda hijau di rantau ini daripada hanya menjadi peserta, memandangkan ekonomi hijau global semakin memperoleh momentum, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa (IGEM) 2018, anjuran kementerian itu melalui Perbadanan Teknolohi Hijau Malaysia, dijangka berperanan penting dalam mengumpul penyelesaian lestari yang praktikal, terbukti serta berkesan dari segi kos.

"Tema tahun ini menumpukan usaha melaksanakan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSDG).

"Oleh itu saya menggesa semua rakyat Malaysia menyokong acara antarabangsa ini, meneroka perniagaan, pasaran baharu serta menjadi sebahagian untuk mengembangkan ekonomi hijau," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

IGEM 2018, akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini mulai 17 hingga 20 Okt ini dengan menampilkan 250 pempamer.

IGEM 2018 juga akan mengetengahkan beberapa persidangan menampilkan lebih 40 penceramah daripada organisasi seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Kesatuan Eropah, Capital Markets Malaysia, Kedutaan Korea Selatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Tinggi Britain, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia serta Persekutuan Bangunan Hijau Malaysia.

Acara ini turut menjadi tuan rumah bagi Kongres Datuk Bandar - World Energy Cities Partnership anjuran DBKL, yang akan menyaksikan empat datuk bandar dan delegasi dari 11 anggota meneroka peluang mewujudkan teknologi alam sekitar untuk menjana kuasa bagi bandar hijau.

-- BERNAMA