Malaysia dan Brunei sedang menyelaras bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa Taufan Haiyan di Filipina.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu telah dibincangkan dalam pertemuannya dengan Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, yang kini dalam lawatan rasmi di negara ini.

"Saya sempat berbincang dengan Tuanku berhubung kerjasama Malaysia dan Brunei bagi menyelaras bentuk bantuan yang akan diberikan sama ada melalui perhubungan dua hala yang sedia wujud (antara kedua-dua negara) ataupun atas platform ASEAN.

"Perbincangan ini amat bertepatan, tambahan pula Tuanku sendiri adalah Pengerusi Majlis Bencana Alam Kebangsaan Brunei Darussalam," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mengenai Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Filipina Rabu, Hishammuddin berkata Kementerian Pertahanan menyalurkan bantuan perubatan dan pengangkutan kepada mangsa-mangsa taufan itu.

"Dari segi perubatan, konsep yang dicadangkan dalam fasa Rescue and Relief ialah Bantuan Forward Medical Team (FMT) bercorak Mobile Out-Patient Treatment dan Minor Surgery yang mudah alih.

"Hospital Medan atau 'field hospital' akan menyediakan perkhidmatan bantuan sama ada secara bergabung dengan tentera Filipina dan Perkhidmatan Kesihatan Filipina atau secara persendirian," katanya.

Hishammuddin berkata bagi peringkat awal ini, FMT akan membawa empat pegawai perubatan, 12 paramedik dan tujuh anggota sokongan yang terdiri daripada pemandu, juruteknik, anggota semboyan dan jurutera medan.

Dari segi pengangkutan pula, katanya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersiap sedia dengan menyediakan dua pesawat C130 Hercules bagi membawa peralatan, ubat-ubatan, bahan makanan, kelengkapan serta anggota bantuan.

"Dua pesawat ini akan berulang alik dari Malaysia ke Filipina mulai esok. Satu pesawat akan digunakan oleh Majlis Keselamatan Negara manakala satu lagi oleh Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).

"Saya turut memberi jaminan dan komitmen bahawa untuk penghantaran bantuan dalam jumlah yang besar, Kementerian (Pertahanan) melalui Tentera Laut Diraja Malaysia bersiap sedia menyediakan kapal TLDM sekiranya diperlukan," katanya.

Menurutnya beliau telah berbincang dengan rakan sejawatannya dari Filipina, Gazmin Voltaire mengenai bentuk bantuan yang boleh disalurkan oleh Malaysia.

Hishammuddin berkata sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan, beliau telah meminta Malaysia Airlines (MAS) untuk turut serta membantu kerajaan Malaysia melaksanakan misi kemanusiaan itu.

"MAS bersetuju untuk bekerjasama dengan menerbangkan segala barangan dan keperluan dari negara ini ke Filipina.

"Malah, saya juga telah meminta pihak Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) untuk berhubung dengan DCA Filipina mengenai kelulusan pendaratan di negara tersebut," katanya.

Beliau berkata pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) juga diminta untuk menyelaraskan pergerakan kargo dan penerbangan dari Malaysia ke Filipina jika diperlukan memandangkan setakat ini kesemua pesawat diterbangkan dari TUDM Subang.