Dalam meniti perjalanan Malaysia sepanjang 55 tahun sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, sudah pasti ada hati-hati yang terluka, kata Pengarah Urusan firma konsultansi Zubedy (M) Sdn Bhd, Anas Zubedy.

Beliau berkata, sungguhpun perkara itu dianggap proses normal kerana latar belakang masyarakat negara ini dari bangsa, agama, dan suku kaum yang pelbagai, namun itu tidak bermaksud ia boleh terus dibiarkan.

Apatah lagi, jelas ahli perniagaan itu, ia berlaku pada saat Malaysia kini meneroka satu situasi yang baharu, selepas Pilihan Raya Umum yang lepas menyaksikan majoriti rakyat negara ini membuat keputusan untuk menukar kerajaan.

“Apa yang kita perlu lihat di sini, sebagai contoh, apabila kita tengok kita punya buku sekolah, jarang kita ada cerita dengan nama-nama orang Sabah dan Sarawak. (Tetapi) kita ada Ali, Muthu dan Ah Chong. Kita tidak pernah mendengar nama-nama Kadazan, Iban, Murut, atau Kelabit. Kita sebenarnya boleh tambah (nama-nama) itu dalam cerita.

“Dalam buku-buku kita di sekolah rendah dan menengah, kita mesti sulamkan benda-benda yang bukan sahaja dari Semenanjung, malah dari Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Kempen #SaySomethingNice bersempena Hari Malaysia, di ibu negara, hari ini.

Pada 16 September lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu berucap merasmikan Sambutan Hari Malaysia peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu, mengumumkan kesediaan kerajaan Pakatan Harapan untuk mengembalikan status ‘rakan sekutu’ kepada Sabah dan Sarawak.

Jelas Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi, ia akan dilakukan selepas kajian semula terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selesai dilakukan.

Menyambut baik pengumuman itu, Anas berkata, negara ini sudah terlampau lama menyaksikan pemusatan kuasa (centralization) yang banyak tertumpu di Semenanjung Malaysia sahaja.

“Kita adalah negara dengan banyak hati yang terluka. Ini normal kerana negara ini mempunyai rakyat yang banyak latar belakangnya. Maka, saya rasa hati orang Sabah dan Sarawak terguris kerana kita tidak memberi perhatian yang cukup buat mereka.

“Kita di Semenanjung mesti berusaha untuk memenangi kembali kepercayaan.. bahawa bila Sabah dan Sarawak, dan seterusnya, bersatu untuk mewujudkan Malaysia yang progresif,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai majlis penutup #SaySomethingNice itu, Anas berkata, ia merupakan kerjasama dengan Arkib Negara Malaysia, yang mana program yang berlangsung di antara 31 Ogos hingga 16 September itu bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat negara ini.

Turut menjadi fokus utama majlis itu adalah acara khas memperingati jasa dan sumbangan penyanyi legenda negara iaitu seniman Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad yang menjadi sebutan masyarakat satu ketika dahulu.