Malaysia kini di peringkat akhir rundingan dengan China bagi pembatalan sekatan eksport sarang burung walit mentah ke negara itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata satu perjanjian protokol telah ditandatangani kementeriannya agar Jabatan Perkhidmatan Veterinar diberikan kepercayaan oleh China untuk membuat penilaian mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan ke atas sarang burung walit sebelum dieksport.

Beliau yang ditemui pemberita selepas melawat dua premis sarang burung walit dan sebuah syarikat pemprosesan di sini pada Isnin, menjangkakan keputusan positif hasil rundingan tersebut akan diperoleh dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Bagaimanapun kata Ahmad Shabery perkembangan itu tidak akan menjejaskan pengusaha sarang burung siap diproses tempatan yang mendapat permintaan tinggi daripada China.

"Mengikut statistik kita, sarang burung walit diproses yang dieksport ialah 60 tan setahun tetapi jumlah yang dikeluarkan adalah hampir 400 tan setahun.

"Ertinya sudah banyak yang dihantar keluar tetapi menerusi jalan keluar lain iaitu melalui negara ketiga seperti Hong Kong, Vietnam dan sebagainya yang akhirnya mendarat di China juga, " katanya.

Beliau berkata penjualan melalui orang tengah itu menyebabkan harga sarang burung walit tempatan terpaksa dijual pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran sebenar.

China mengenakan sekatan import ke atas semua produk sarang burung walit dari Malaysia pada Julai 2011 sebelum menarik balik sekatan ke atas sarang siap diproses pada Jun tahun lalu.

-- BERNAMA