Malaysia berada di landasan yang betul ke arah menikmati masa depan yang lebih stabil dan mencapai status negara maju, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Beliau berkata negara berdepan beberapa masalah utama seperti kemahiran manusia, prestasi ekonomi dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

"Bagi saya, inilah isu utama namun sebaik sahaja semua perkara penting ini ditangani, insya-Allah kita akan mampu bergerak maju seperti yang kita harapkan...bukan dalam tempoh 100 hari, tapi akan tepat pada waktunya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Kepimpinan "Nurture, Engage, eXchange" (NEX) di sini, hari ini.

Beliau berkata harapan rakyat kepada kerajaan baharu adalah tinggi namun ia perlu realistik kerana pembangunan tidak berlaku dalam tempoh yang singkat.

"Kerajaan perlu mentadbir urus dan boleh menyesuai, dan tidak boleh terganggu dengan tuntutan yang tidak realistik serta permintaan tidak penting daripada segelintir pihak," katanya.

Rafidah berkata dasar perlu boleh disesuaikan dan mampu memenuhi tuntutan dan situasi baharu.

Beliau gembira bahawa kerajaan Pakatan Harapan telah membentangkan belanjawan pertama mereka yang cukup komprehensif merangkumi aspek utama.

Beliau menyifatkan cadangan Belanjawan 2019 berjumlah RM314.5 bilion itu sebagai belanjawan yang amat realistik serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

"Ia tidak memberi harapan palsu kepada rakyat, kerana belanjawan itu memberitahu rakyat seperti sedemikian. Saya berpandangan wujudnya tahap keyakinan yang lebih tinggi selepas pengumuman belanjawan itu, tetapi jangan lupa kita masih perlu memasarkan Malaysia untuk menarik lebih ramai pelabur," katanya.

-- BERNAMA