Malaysia telah diiktiraf antara negara yang amat berjaya di dunia dalam mengawal dan menguruskan wabak COVID-19, kata perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berucap pada perjumpaannya bersama kira-kira 250 warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini, beliau berkata kejayaan tersebut adalah berkat usaha kesungguhan dan kerjasama semua pihak di peringkat kerajaan hingga masyarakat.

"Kita bersyukur kerana Malaysia telah dapat melalui satu tempoh masa yang amat mencabar iaitu untuk menangani wabak COVID-19 yang telahpun melanda dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

"Kesemuanya ini kerana adanya usaha bersungguh-sungguh kita bersama-sama, baik di peringkat kerajaan mahupun rakyat jelata, menguruskan secara bijaksana, tegas dan berani membuat keputusan yang segera dan tepat untuk menentukan wabak penyakit ini tidak menular dalam kalangan masyarakat," katanya.

Sumber Facebook ts.muhyiddin

Beliau berkata kerajaan tidak memandang remeh sesuatu isu sekiranya ia melibatkan kesejahteraan rakyat walaupun Malaysia tidak mempunyai pengalaman berhadapan dengan wabak sedemikian dalam tempoh lebih 60 tahun.