Menjelang tahun 2050, negara dijangka dapat menjana hasil pertanian yang mencukupi bagi menampung 50 juta penduduk.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerusi Transformasi Negara, TN50, negara mampu menghasilkan makanan bukan sahaja untuk kegunaan tempatan tetapi boleh dieksport ke luar negara.

"Apabila dilancarkan Transformasi Nasional (TN50) kita berharap negara kita yang ketika itu akan mempunyai 50 juta penduduk tidak perlu mengimport makanan daripada luar malah makanan dari dalam negara bukan sahaja cukup untuk kegunaan tempatan tetapi boleh dieksport keluar negara dengan kualiti dan teknologi terbaik yang dihasilkan Kementerian Pertanian dan agensi dibawahnya," katanya ketika merasmikan majlis penutup Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 di sini, hari ini.

MAHA2016 yang bermula sejak 1 Disember bakal melabuh tirai malam ini setelah berlangsung selama 11 hari di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Setakat pagi tadi, sejumlah 3.4 juta orang yang mengunjungi MAHA 2016 dan dijangka angka itu akan meningkat kepada 3.8 juta malam nanti menjadikannya MAHA 2016 penganjuran dengan pengunjung paling ramai dan jualan paling tinggi dicatatkan.