Malaysia dilantik menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) ke-26 pada 2020, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pelantikan itu merupakan pengiktirafan terhadap peranan penting Malaysia sebagai anggota negara Komanwel sejak 50 tahun lalu.

"Malaysia telah dilantik menjadi tuan rumah CHOGM pada 2020, 31 tahun selepas menghoskan mesyuarat berkenaan (1989)," katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri majlis penutup CHOGM 2015 di Malta, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang mengetuai delegasi Malaysia ke CHOGM 2015 berkata, United Kingdom akan menjadi tuan rumah mesyuarat berkenaan pada 2018.

Sepanjang mesyuarat di sini, para pemimpin Komanwel menyelesaikan isu-isu global seperti perubahan iklim, membina daya tahan di negara-negara kecil, perdagangan dan pembangunan mampan, memperkasakan belia dan memerangi rasuah serta keganasan.

Ahmad Zahid berkata, perubahan iklim yang memberi kesan khususnya kepada 31 negara anggota Komanwel menjadi tumpuan utama dalam sidang kemuncak berkenaan.

"Pulau kecil negara Komanwel dijangka tenggelam pada masa depan akibat pemanasan global yang telah meningkatkan paras air laut," katanya.

Beliau berkata kertas kerja dibentangkan kepada Kabinet untuk mengesahkan komitmen Malaysia mengurangkan perubahan iklim, yang menggariskan usaha pemuliharaan alam sekitar, meminimumkan penebangan hutan dan menyokong tenaga boleh diperbaharui serta pendekatan lain.

"Kita akan mainkan peranan penting dalam membantu mengurangkan perubahan iklim global," katanya.

Pada sidang akhbar sama, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia juga menggesa negara-negara membangun Komanwel untuk menyediakan sumber kewangan untuk anggota negara membangun.

"Negara-negara maju juga perlu bertanggungjawab untuk perubahan iklim kerana merekalah yang menggunakan sumber semula jadi," katanya.

Mengenai penempatan semula Sekretariat Majlis Belia Komanwel ke Kuala Lumpur, Ahmad Zahid berkata beliau telah membincangkan perkara berkenaan dengan Anifah dan akan mengemukakannya kepada Kabinet untuk kelulusan serta memohon peruntukan.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai isu berkenaan.