Malaysia menghantar tiga aset ke Indonesia untuk misi memadam kebakaran di Sumatera Selatan, Indonesia.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya Maritim, Datuk Che Hassan Jusoh berkata, dua pesawat jenis Bombardier CL 415 MP dan satu AS 365 N3 Dauphin dihantar bagi operasi terbabit.

"Operasi pertama ini dijangka mengambil masa lima hari sebelum kedua-dua aset tebabit kembali ke tanah air.

"Seramai 25 pegawai penguatkuasa APMM akan terlibat sepenuhnya dalam operasi ini," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, aset milik TUDM iaitu pesawat C130 turut dikerah untuk menjayakan misi ini.


Misi yang menelan kos sebanyak RM1.5 juta ini dilaksanakan selepas kerajaan Indonesia memohon bantuan daripada Malaysia untuk menyelesaikan masalah jerebu yang berlarutan.

Setakat ini Malaysia merupakan satu-satunya negara di benua Asia yang mempunyai pesawat Bombardier.

Pesawat ini mempunyai keupayaan mendarat di permukaan air dan memadamkan api dari udara menggunakan teknik "water bombing."

Ia mampu menyedut air sebanyak 6,137 liter dalam tempoh 12 saat.