Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan pendirian yang tegas berhubung ancaman kolonialisme era baharu pada masa kini.

Tanpa menunding jari kepada China, Perdana Menteri berkata kolonialisme itu bukan sahaja dalam bentuk pelaburan asing tetapi pelbagai cara lain termasuk pembelian hartanah.

Kenyataan demikian dibuat dalam satu temu bual program HARDTALK di saluran BBC WORLD yang berlangsung di London, pagi tadi (jam 11.30 pagi waktu tempatan).

"Tidak ada satu pun negara yang inginkan kedatangan orang lain beramai-ramai ke negara mereka dan menetap di negara mereka. Lihatlah apa yang sedang berlaku di Eropah sekarang. Mereka menyuruh semua orang Syria untuk pergi. Donald Trump juga telah membina tembok besar melawan Mexico" kata Dr Mahathir.


Selain itu, Dr Mahathir turut mengulas apabila ditanya sama ada Malaysia menolak kolonialisme dan beliau berkata jika ia baik untuk negara, Malaysia akan terima kedatangan mereka.

"Jika kita lihat pada masa ini, sesetengah orang menjual tanah yang besar kepada negara China dengan tujuan pelaburan dan orang Cina membina sebuah bandaraya yang mewah untuk rakyat mereka tinggal di tanah itu," katanya.

"Jika mereka datang seramai 700,000 orang, ia bukanlah pelaburan langsung asing tetapi kolonialisme,” tambahnya lagi.

Dr Mahathir turut berkata Malaysia hanya akan menerima pelaburan langsung asing yang boleh membawa keuntungan, teknologi dan merancakkan ekonomi Malaysia sahaja.