Malaysia harus ambil inisiatif lancar usaha singkir Israel dari PBB

Malaysia harus ambil inisiatif lancar usaha singkir Israel dari PBB
Semenjak penubuhan negara Israel, pelbagai masalah telah ditimbul oleh Israel terutamanya terhadap rakyat Palestin yang juga jelas bertentangan dengan tujuan dan matlamat asal penubuhan PBB itu sendiri. - Gambar fail/BERNAMA
SATU usaha bersepadu perlu diambil oleh masyarakat antarabangsa yang boleh diketuai oleh Malaysia bagi menyingkir Israel dari Pertubuhan Bangsa - Bangsa Bersatu (PBB). Ini susulan penindasan dan tindakan kekejaman yang Israel lakukan khusus terhadap penduduk Palestin semenjak negara Israel tertubuh lebih 70 tahun yang lalu.

Penduduk Palestin tidak pernah mengecapi kedamaian semenjak penubuhan negara Israel pada tahun 1948 dan rampasan bandar Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza oleh Israel selepas tamatnya Perang Enam Hari pada tahun 1967. Sudah lebih setengah abad, penduduk Palestin menjadi mangsa penindasan dan kekejaman oleh pihak Israel.

Penindasan dan kekejaman yang dilakukan terhadap penduduk Israel bukan hanya dilakukan oleh kalangan tentera Israel malah turut disertai oleh beberapa persatuan dan rakyat Israel sendiri. Sudah ramai masyarakat Palestin yang sudah menjadi mangsa penindasan dan kekejaman oleh Israel termasuklah warga tua, kaum wanita dan golongan remaja dan kanak – kanak.

Oleh itu, sudah sampai masanya, satu tindakkan tegas diambil oleh masyarakat antarabangsa bagi menghukum Israel kerana kegagalan mereka untuk hidup dalam sebuah masyarakat yang bertamadun serta yang berpandukan undang – undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

Antara langkah paling drastik yang boleh dipertimbangkan ialah dengan menyingkir Israel terus dari PBB. Israel perlu diingatkan bahawa penubuhan negaranya pada tahun 1948 yang lalu banyak terhutang budi kepada PBB sendiri. Pada tahun 1947, PBB telah memutuskan untuk membahagikan daerah mandat British di Palestin. Keputusan terbabit telah ditentang keras oleh negara – negara Timur Tengah dan banyak negara Islam di serata dunia.

Semenjak penubuhan negara Israel, pelbagai masalah telah ditimbul oleh Israel terutamanya terhadap rakyat Palestin yang juga jelas bertentangan dengan tujuan dan matlamat asal penubuhan PBB itu sendiri. Di antara matlamat utama penubuhan PBB, sebagaimana yang ditetapkan dalam Perkara 1 Piagam PBB 1945 (United Nations Charter 1945), adalah untuk mengelakkan perulangan pertikaian yang hebat, menegaskan hak asasi manusia yang utama, menjamin rasa hormat akan undang – undang antarabangsa, serta memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia.

Semua matlamat yang dinyatakan jelas tidak dipatuhi oleh Israel semenjak penubuhan negara mereka lebih 70 puluh tahun yang lalu. Oleh yang demikian, sewajarnya Israel di singkir terus dari PBB. Perkara 6 Piagam PBB 1945 terbabit turut menyatakan dengan jelas bahawa “Ahli Bangsa - Bangsa Bersatu yang telah berterusan melanggar Prinsip yang terkandung dalam Piagam ini boleh dibuang daripada Pertubuhan Melalui Perhimpunan Agung atas syor Majlis Keselamatan”.

Bagi menjayakan cadangan berkenaan, masyarakat antarabangsa perlu bersatu seperti yang telah ditunjukkan oleh mereka dua tahun dahulu melalui resolusi Majlis Keselamatan, PBB 2334. Resolusi 2334 telah diluluskan pada 23 Disember 2016 dengan 14 undi menyokong, dan Amerika Syarikat mengambil sikap berkecuali. Resolusi itu yang pertama mengenai Israel dan Palestin yang dibuat 15 negara anggota Majlis Keselamatan, PBB dalam tempoh lapan tahun.

Pada asalnya, teks resolusi itu diperkenalkan Mesir tetapi akibat tekanan Amerika Syarikat, negara tersebut telah menarik balik resolusi berkenaan.  Kejayaan resolusi 2334 mempunyai beberapa signifikannya tersendiri. Pertama, cara pengundian tersebut berlaku di Majlis Keselamatan menunjukkan bahawa negara - negara yang menjadi anggota tidak tetap Majlis tersebut bersedia dan sanggup mendaulatkan peraturan undang - undang (Rule of Law) peringkat antarabangsa meskipun tindakan tersebut berlawanan dengan pendirian dan prinsip Barat serta negara - negara di Asia Barat dan Timur Tengah yang dilihat cenderung terhadap Barat.

Kedua, Resolusi 2334 terbabit telah memberi sedikit keyakinan kepada pihak Palestin bahawa kebanyakan negara dunia termasuk Malaysia masih bersama – sama mereka khusus dalam perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai kemerdekaan penuh dari Israel dan mengecapi keamanan.

Walaupun perkara ini sukar dilaksanakan terutamanya tanpa sokongan dari sesetengah negara yang menduduki Majlis Keselamatan PBB yang menjadi proksi serta penyokong kuat Israel seperti Amerika Syarikat dibawah pimpinan Presiden Donald J. Trump namun langkah atau usaha yang patut diambil ini sekurang – kurangnya dapat memberi isyarat jelas kepada rejim Israel bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan hanya duduk diam terhadap segala tindakkan penindasan dan kekejaman yang dilakukan oleh mereka terhadap penduduk Palestin serta pada masa yang sama memberi sokongan moral kepada penduduk Palestin. Malaysia sebagai salah sebuah negara Islam yang paling berpengaruh didunia perlu mengambil initiatif bagi melaksanakan cadangan penyingkiran ini ke peringkat antarabangsa.


*Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang - Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.






Tag: PBB, Malaysia, Israel, Gaza, Amerika Syarikat, Palestin, singkir Israel



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.