Malaysia menjadi negara contoh kepada Filipina dalam menyediakan pusat pentadbiran kerajaan setempat di Capas, Tarlac, dalam Wilayah Bataan dan Nueva Ecija, yang berkonsepkan ‘mini Putrajaya’.

Uniknya pusat pentadbiran New Clark City (NCC) itu ialah, ia dibangunkan oleh syarikat Malaysia, AlloyMtd Group (AlloyMtd) melalui unit tempatannya, MTD Philippines Inc.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Filipina, Rizany Irwan Muhamad Mazlan berkata, NCC dibina di kawasan seluas 9,450 hektar dengan nilai pelaburan RM2 bilion.

Menurutnya, inisiatif itu muncul susulan lawatan Presiden Filipina Rodrigo Duterte ke Putrajaya pada 2016, yang berhasrat mengurangkan kesesakan di tengah kota raya Manila dan membuka limpahan ekonomi di wilayah-wilayah sekitarnya.

“Beliau (Duterte) suka dengan pembangunan di Putrajaya. Apabila beliau pulang daripada lawatan itu, beliau telah meminta pentadbirannya untuk melihat bagaimana satu pembangunan bandar baru ala Putrajaya dapat dibina.

“Satu lagi faktor yang lebih penting yang harus kita fahami, Tarlac, Pampanga ini terletak di satu kawasan yang lebih selamat, yang mana Manila ketika ini terletak dalam lingkungan gempa bumi, yang dijangka berlaku dalam beberapa tahun akan datang,” katanya kepada media Malaysia di sini pada Selasa.

Menurut Rizany Irwan, limpahan ekonomi itu sejajar dengan inisiatif Duterte selama ini di bawah konsep Build Build Build (BBB) yang mana terdapat 75 projek pembangunan di seluruh Filipina.

Tambahnya, untuk fasa pertama, AlloyMTD diberi peluang untuk membina venue utama perasmian serta pusat akuatik untuk Sukan SEA yang akan berlangsung pada November dan Disember akan datang.

Justeru, beliau menggesa para pelabur syarikat swasta, terutama dalam bidang pembangunan, hospitaliti dan perkhidmatan, supaya lebih berani melabur di negara ini.