Malaysia menjadi peneraju dalam usaha-usaha keselamatan serantau terutamanya menerusi perancangan dan pelaksanaan program-program pembangunan kapasiti, perkongsian maklumat perisikan dan pembangunan kerjasama kesemua negara-negara ahli ASEAN.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, ia sekali gus platform utama negara dalam memacu kerjasama yang lebih komprehensif dalam kalangan negara anggota ASEAN ke arah rantau ASEAN yang lebih aman dan makmur.

Jelas Mohd Azis, mesyuarat akan membincangkan 10 bidang jenayah rentas sempadan, iaitu keganasan, pemerdagangan orang, jenayah siber, pelanunan di laut, penyeludupan dadah, jenayah ekonomi antarabangsa, penyeludupan senjata api, penyeludupan hidupan liar dan balak, pengubahan wang haram dan penyeludupan manusia.

"Daripada 10 bidang di bawah jenayah rentas sempadan, Malaysia akan mengetuai secara sukarela dalam tiga bidang jenayah iaitu penyeludupan manusia, pelanunan di laut dan penggubahan wang haram.

"Jadi mesyuarat kali beberapa isu lagi akan dibincangkan dan kita pun tahu di Malaysia ini mengalami beberapa isu terutama jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Pegawai -Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan (SOMTC) kali ke-18 di sini, hari ini.

SOMTC kali ke-18 diadakan pada 23 hingga 28 September ini dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Penganjuran Mesyuarat SOMTC kali ini merupakan kali kedua buat Malaysia di mana kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat SOMTC adalah pada tahun 2008.

Tema SOMTC kali ke-18 adalah Memastikan Keselamatan, Keamanan dan Kemakmuran ASEAN.

Mesyuarat SOMTC kali ke-18 ini dihadiri lebih daripada 221 delegasi yang terdiri daripada ketua pegawai kanan dari 10 negara ASEAN yang bertanggungjawab terhadap isu berkaitan jenayah rentas sempadan.

Selain itu, ia turut disertai pegawai-pegawai dari 10 negara-negara rakan dialog iaitu Australia, Kanada, China, India, Jepun, Korea, New Zealand, Rusia, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Tambah Mohd Azis, dua buah organisasi antarabangsa iaitu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dan Program ASEAN-Australia untuk Pemerdagangan Orang (AAPTIP) turut menyertai mesyuarat SOMTC kali ini.

"Hasil daripada Mesyuarat SOMTC ke-18 ini akan dilaporkan dalam Mesyuarat Peringkat Menteri dalam Jenayah Rentas Sempadan - AMMTC yang akan berlangsung di Myanmar pada akhir bulan Oktober ini, untuk diperakukan oleh Menteri-Menteri ASEAN berkaitan.

"Penglibatan Malaysia sebagai penganjur dan pengerusi bagi Mesyuarat SOMTC kali ke-18 ini mencerminkan komitmen negara dalam menyokong usaha-usaha ASEAN dalam memerangi jenayah rentas sempadan," jelasnya.

Katanya, ia sekali gus akan memacu kerjasama yang lebih komprehensif di kalangan negara anggota ASEAN ke arah rantau ASEAN yang lebih aman dan makmur.