Malaysia setuju untuk jadi orang tengah kepada proses rundingan bagi mencari penyelesaian kepada konflik di wilayah Selatan Thailand.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, penglibatan Malaysia itu adalah atas jemputan Thailand selepas melihat kejayaan mengusahakan perjanjian persetujuan bersama antara pemerintah negara itu dengan Barisan Revolusi Nasional, (BRN), Mkumpulan pejuang pembebasan Islam di Selatan Thailand.

“Saya optimis kerana melihat wujudnya komitmen ikhlas oleh kedua-dua parti, untuk mencari keamanan yang berpanjangan di wilayah selatan.

“Sekiranya momentum ini diteruskan, perjanjian akhir boleh dilaksanakan dalam masa terdekat. Malaysia akan memainkan peranan kami,” kata Najib ketika sidang media bersama Yingluck.

Sementara itu, Yingluck menghargai kesungguhan Malaysia mengusahakan inisiatif untuk membolehkan rakyat di wilayah bergolak itu mengecapi keamanan.

“Kami menghargai sokongan Malaysia terhadap proses dialog ini, dan kami mahu terus melihat ke hadapan,” kata Yingluck.

Rundingan tersebut akan dilaksanakan menerusi jawatankuasa kerja bersama Malaysia-Thailand.

Thailand akan diketuai Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaannya, Paradon Pattanathabutr, sementara Malaysia akan menamakan perantara bagi pihaknya dalam masa terdekat.

Rundingan antara kerajaan Thailand dan BRN dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dua minggu lagi.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin turut bersetuju meneroka bidang baru kerjasama, untuk meningkatkan hubungan bilateral Kuala Lumpur-Bangkok.

Ini termasuk bidang perdagangan, perdagangan, projek pembinaan jambatan menghubungkan Sungai Golok dengan sempadan Malaysia.
Dalam pada itu, Malaysia turut memeterai empat perjanjian persefahaman (MoU) dengan Thailand. Ia melibatkan usaha meningkatkan pembangunan sektor swasta di sempadan, rentas sempadan, belia dan sukan, dan perjanjian pertukaran dokumen melibatkan majlis sekretariat perniagaan.

Lawatan Yingluck ini adalah sempena rundingan tahunan Malaysia-Thailand kali yang kelima.