Pemain industri pelancongan Arab Saudi kini meletakkan Malaysia sebagai produk pemasaran utama mereka, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Khabar gembira itu kata beliau merupakan petanda baik buat negara kerana pelancong dari Arab Saudi merupakan antara pelancong yang berbelanja besar ketika berada di Malaysia.

"Ini adalah satu berita baik buat Malaysia dan ia amat bersesuaian dengan misi kempen Melawat Malaysia 2020 tahun depan.

"Mereka ini merupakan pelancong kelas atas yang banyak berbelanja setiap kali berkunjung ke Malaysia. Bila mereka (pemain industri) menyatakan minat mereka yang tinggi untuk mempromosikan kita, itu adalah petanda baik kepada industri pelancongan negara selepas ini," Katanya selepas mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Saudi International Health Tourism Forum, Ahmed Aloraij di Riyadh pada Jumaat.

Menurut Mohamaddin hasil perbincangan bersama Ahmed turut memutuskan untuk diadakan satu lagi pertemuan bagi perbincangan lanjut langkah promosi yang akan dilaksanakan.

"Kita bertukar pandangan dalam banyak perkara antaranya langkah kerjasama promosi negara di pusat beli belah di bandar-bandar utama di Arab Saudi.

"Di samping itu mereka juga akan menggerakkan promosi 'e-marketing' secara meluas di negara ini. Mereka juga menyatakan hasrat untuk memuktamadkan gerak promosi kedua-dua negara sebelum penghujung tahun ini," ujarnya.

Sementara itu Ahmed berkata pemain industri Arab Saudi kini sememangnya telah memfokuskan kepada promosi produk pelancongan Malaysia berbanding negara lain.

"Malaysia memiliki banyak tarikan pelancongan termasuk eko pelancongan yang amat digemari warga Arab Saudi.

"Sebelum ini kami tidak pernah mempromosikan negara Asia secara besar-besaran dan sebab utama kami mahu berbuat demikian adalah kerana tarikan pelancongan di Malaysia yang pelbagai dan permintaan yang tinggi," katanya.

Selain itu, tambah Ahmed warga Arab Saudi juga menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama produk kesihatan terutama pelancongan kesihatan.