Malaysia tidak harus ambil peduli sebarang desakan pihak luar berhubung siasatan kes pembunuhan Kim Jong Nam.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa UUM, Profesor Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, ia hanyalah taktik sesetengah pihak bagi mengalih perhatian dunia dari kes itu.

Merujuk kepada tuduhan suspek warga Korea Utara Ri Jong Chol yang sudah dihantar pulang ke negara asalnya terhadap Malaysia, Mohd Azizuddin berkata Malaysia harus menumpukan perhatian kepada siasatan yang masih berlangsung dengan mengumpul bukti.

"Saya rasa kita tak perlu layan tuduhan dibuat oleh dia. Mungkin dia kecewa disiasat dalam kes pembunuhan itu.

"Namun apa yang disuarakan beliau di luar Malaysia mahkamah tidak perlu guna pakai apa yang dihujahkan. Siasatan dan pertuduhan harus dilakukan kerana kita hanya mahukan kebenaran dalam kes ini.

"Siapa mengarah pembunuhan, apa motif sebenar terhadap kes ini dan sebagainya," katanya di dalam Hari Ini 8 malam ini.

Mohd Azizuddin berkata tidak mustahil Jong Chol berbuat demikian bagi menyelamatkan dirinya dari dihukum apabila pulang ke Korea Utara.

"Ini mungkin salah satu cara dia menyelamatkan diri sendiri dan dipihaknya sebenarnya bimbang kemungkinan besar disoal pihak risikan Korea Utara nanti.

"Dan apa disampaikan pihak polis Malaysia mungkin adalah salah satu cara melepaskan diri dari pihak Korea Utara.

"Kita tidak perlu fikirkan dan layan tindakan sesetengah individu sepertinya yang mahu mengelak dikenakan tindakan," katanya.

Pada Sabtu, Jong Chol mendakwa dia adalah mangsa konspirasi Malaysia yang hendak merosakkan maruah Korea Utara.

Warga Korea Utara itu turut menuduh Malaysia menggunakan cara paksaan untuk mendapatkan pengakuan daripadanya.