MALAYSIA mengekalkan rekod dalam kelompok 10 negara destinasi pelancongan terbaik dunia 2018 seperti yang dilaporkan oleh Euromonitor International iaitu agensi kajian pasaran global yang berpangkalan di London, United Kingdom.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 3 Disember lalu, Euromotor International menyatakan bahawa enam daripada 10 kota raya paling kerap dikunjungi dalam tahun 2017 adalah di Asia dengan Hong Kong dan Bangkok sebagai kedudukan dua teratas sementara Singapura, Macau, Kuala Lumpur dan Shenzen berada dalam kalangan 10 teratas di peringkat global.

Kejayaan itu menarik perhatian Menteri Pelancongan, Seni Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi yang menyambut baik pengumuman tersebut sambil menyifatkan rekod berkenaan sebagai petunjuk bahawa Malaysia berada di landasan yang betul bagi mencapai pertumbuhan industri pelancongan yang mapan.

"Kementerian berusaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia dan seterusnya meningkatkan lagi skor di peringkat antarabangsa. Kementerian mensasarkan untuk menarik 30 juta pengunjung dengan jumlah pendapatan RM100 bilion pada tahun 2020," jelas beliau.

Pada tahun ini, Malaysia, kata Mohamaddin, mensasarkan 26.4 juta pelancong dengan pendapatan sebanyak RM84.9 bilion.

Menurut beliau, sejajar dengan pengumuman Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini, kementerian juga akan terus mempergiatkan lagi usaha untuk mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara utama tumpuan pelancong di dunia dengan pelbagai tarikan alam semula jadi, seni, budaya, kesihatan, makanan dan pelbagai produk inovasi.

Katanya, industri pelancongan Malaysia merupakan antara penyumbang utama kepada sektor perkhidmatan negara dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 14.9% atau RM201.4 bilion.

Industri pelancongan merupakan penyumbang ketiga terbesar dengan sumbangan bernilai RM73.3 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar.

Di samping itu, guna tenaga industri pelancongan juga telah mencatatkan rekod tertinggi iaitu seramai 3.2 juta orang; iaitu sebanyak 22.7% daripada jumlah guna tenaga keseluruhan pada tahun 2016.

Sektor pelancongan juga telah menerima pelbagai pengiktirafan dunia sepanjang tahun 2018 termasuk Anugerah BrandLaurete Best Brand 2017-2018 bagi kategori Kecemerlangan Jenama Negara, Bandar Di-Raja Muar - Bandar Pelancongan Paling Bersih di ASEAN, lima tahun berturut-turut skor tertinggi bagi Islamic Economy Ecosystem termasuk Pelancongan Halal, Makanan dan Rekreasi, Global Islamic Economy Report 2018/2019 oleh Thomson Reuters.