Malaysia akan mengukuhkan lagi hubungan dagangan dua hala dengan Qatar dalam industri minyak dan gas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selain ia mampu menambah baik dan memulihkan situasi semasa pasaran Qatar yang terjejas akibat tindakan beberapa negara Arab memutuskan hubungan diplomatik dengannya, langkah ini mampu membuka peluang kepada syarikat negara ini untuk turut serta dalam pembangunan rancak Qatar.

Qatar, antara lain, bakal menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia 2022.

"Kita telah pun memulakan memulakan usaha merancakkan kembali hubungan dua hala dengan Qatar yang mengalami keadaan pasaran industri minyak dan gas mereka yang terjejas ketika ini.

"Kita harap ia mampu membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia untuk turut sama mengambil bahagian dalam pembangunan dan industri di Qatar," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Minyak dan Gas 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, Malaysia menyasarkan peningkatan sebanyak 5 peratus setahun dalam sektor industri minyak dan gas menjelang 2020.

Ahmad Zahid berkata ia sejajar dengan apa yang telah digarapkan kerajaan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Sehingga 2015, Malaysia masih lagi negara terbesar pengeksport gas cecair asli (LNG) di Asia Tenggara dan yang kedua terbesar di dunia selepas Qatar.