Malaysia kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) kerana terus mengingkari gesaan demi gesaan oleh masyarakat antarabangsa untuk rejim Pyongyang mencari penyelesaian secara aman bagi menangani situasi di Semenanjung Korea.

Wisma Putra dalam satu kenyataan malam ini berkata pelancaran peluru berpandu balistik antara benua oleh rejim itu hari ini sekali lagi terang-terang mencabuli resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu berkaitan DPRK, dan seterusnya menjejaskan usaha ke arah perlucutan senjata nuklear dan pembatasan senjata.

"Tindakan provokatif DPRK amat membimbangkan dan hanya memburukkan lagi ketegangan yang telahpun wujud di Semenanjung Korea, dan menjejaskan usaha oleh masyarakat antarabangsa untuk mencari penyelesaian dan keamanan yang berkekalan di rantau tersebut.

BACA: Korea Utara sekali lagi lancar peluru berpandu balistik

BACA: Pyongyang umum kejayaan uji peluru berpandu balistik Hwasong-15

"Malaysia dengan keras mendesak DPRK supaya menghentikan daripada terus melancarkan peluru berpandu, menggalakkannya untuk meredakan ketegangan, dan kembali kepada dialog dan rundingam damai, demi menjaga keamanan dan keselamatan antarabangsa," kata Wisma Putra.

-- BERNAMA