Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan berbincang dengan kerajaan China dalam isu prosedur untuk memudahkan eksport durian jenis Musang King ke negara itu.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, selain itu, tiga lagi produk yang dibincang dalam isu sama adalah nangka, sarang burung walit dan ikan hiasan.

Jelasnya, pertemuan dua hala itu memfokuskan kepada mengurangkan kerenah birokrasi dan protokol ketat yang dikenakan oleh negara tersebut.

"Pada pertemuan singkat saya dengan Duta China di Malaysia semasa majlis berbuka puasa sebelum ini, beliau telah memberikan kesediaan untuk membantu mengurangkan kerenah birokrasi antara dua negara ini.

"Kita dimaklumkan bahawa Musang King tidak boleh dieksport dalam bentuk fizikal, ia kena dibungkus mengikut piawaian negara China," katanya.

BACA: Pasaran durian Musang King dijangka pulih minggu depan

BACA:
FAMA sasar RM200 juta eksport durian sejuk beku 2018

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Mesyuarat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Dengan Exco-Exco Pertanian Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Pada ketika ini, China hanya membenarkan Malaysia mengeksport durian dalam bentuk pek dan perlu dikuarantin sebelum boleh dipasarkan.

Harga durian jenis 'Musang King' yang dilaporkan merudum sehingga lebih 50 peratus di pasaran sejak bulan lalu dijangka pulih semula minggu depan apabila terdapat permintaan baharu untuk eksport.

Laporan menyatakan, pengusaha kebun durian menyifatkan kejatuhan harga durian jenis itu antara RM20 dan RM30 sekilogram di pasaran tempatan disebabkan permintaan berkurangan berikutan saingan dengan lambakan durian jenis biasa.

Dalam pada itu kata Salahuddin, antara perkara lain yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan negeri termasuk usaha untuk memperluas jelapang padi negara dan penternakan di Sarawak dan Sabah.

Selain itu ujarnya, turut dibincangkan adalah isu berkaitan antaranya perolehan tanah dan perkongsian maklumat berhubung program-program di bawah kementerian untuk dilaksanakan di negeri-negeri.

Katanya lagi, mesyuarat itu juga memberi penekanan kepada isu-isu tanah pertanian oleh Bahagian Industri Tanaman Ternakan Perikanan MOA dan pastinya Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2018 oleh Sekretariat MAHA.

Tambahnya, MAHA 2018 akan diadakan pada 22 November sehingga 8 Disember depan.

Jelas Salahuddin lagi, Kabinet sebelum ini memutuskan supaya MOA menyertai rombongan ke China bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam waktu terdekat.

Katanya, ia sekali gus mengukuhkan hubungan dagang antara kedua-dua negara.