Malaysia minta proses siasatan terhadap 47 tahanan di Kemboja disegerakan

Malaysia minta proses siasatan terhadap 47 tahanan di Kemboja disegerakan
Saifuddin dalam pada itu berterima kasih kepada kerajaan Kemboja, kerajaan negeri Sarawak serta pihak-pihak yang terlibat yang telah memberi kerjasama penuh dalam menguruskan perkara tersebut.
PUTRAJAYA: Malaysia berharap pihak berkuasa Kemboja dapat menyegerakan proses siasatan terhadap 47 rakyat negara ini yang kini ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey agar mereka yang tidak bersalah dapat dibebaskan dengan segera, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata Malaysia menghormati proses undang-undang negara itu dan berharap pihak berkuasa Kemboja dapat mempercepatkan apa-apa proses yang terlibat sekiranya memerlukan siasatan atau perbicaraan.

"Lebih awal, lebih baik. Daripada 47 tahanan itu, mereka yang tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan, kami minta supaya dapat segera dibebaskan.
"Kita yakin daripada 47 orang yang ditahan itu, sebahagian besar tidak terlibat dalam apa-apa kesalahan kerana mereka menjadi mangsa penipuan job scam," katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Antara Agensi-Kementerian Luar di sini pada Khamis.

Wisma Putra pada Khamis lalu mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu sejak 11 Dis tahun lalu, atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Saifuddin juga telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Prak Sokhonn, yang juga Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa semalam bagi menzahirkan hasrat Malaysia agar tahanan Malaysia itu dibebaskan segera.

Saifuddin dalam pada itu berterima kasih kepada kerajaan Kemboja, kerajaan negeri Sarawak serta pihak-pihak yang terlibat yang telah memberi kerjasama penuh dalam menguruskan perkara tersebut.

"Saya rasa 47 tahanan itu pun telah lantik peguam mereka sendiri namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita juga menghantar pegawai undang-undang dari kementerian ke sana untuk membantu," katanya.

Saifuddin turut menasihati rakyat Malaysia untuk memahami bahawa kes tersebut berlaku di Kemboja yang mana negara tersebut mengamalkan sistem undang-undang Perancis, berbeza dengan Malaysia yang menggunakan 'common law'.

"Jadi kadang kala interpretasi adalah berlainan dan kerana itu kita hantar pegawai undang-undang kita ke sana untuk membantu," katanya.

-- BERNAMA