Malaysia akan mempertimbangkan calon wanita bagi mengetuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai setiausaha agung untuk penggal hadapan.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Ho May Yong berkata antara ciri yang diberikan penekanan adalah kebolehan serta visi calon yang bakal menjadi setiausaha agung badan dunia itu.

Ho berkata setiausaha agung PBB yang baharu juga harus memastikan pertubuhan itu kekal relevan dalam keadaan global yang kian membangun ini.

"Kami sedang mencari seseorang yang mempunyai nilai kepimpinan dan visi untuk memastikan pertubuhan ini kekal relevan terutamanya dalam masa yang sangat mencabar ini, dimana berlakunya perubahan pesat. Arena global telah membangun dengan pesat.

"Jadi setiausaha agung tersebut mesti berupaya untuk menghadapi cabaran dan membawa PBB untuk menangani cabaran-cabaran. Beliau sudah tentu merupakan seorang yang berwawasan,"katanya.

Ho berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri majlis resepsi bersama media sempena keanggotaan Malaysia di Majlis Keselamatan PBB untuk tempoh 2015 hingga 2016,di ibu negara, hari ini.

Penggal kedua Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon akan berakhir pada 31 Disember ini.

Sebelum ini, Ban menegaskan sudah tiba masanya bagi setiausaha agung wanita mengetuai PBB selepas ia diketuai lapan lelaki.

Ketika ini, 11 calon bertanding untuk menggantikan Ban, lima daripada mereka adalah wanita dan keputusan memilih setiausaha baharu akan dibuat oleh 15 negara anggota Majlis Keselamatan termasuk Malaysia.