Pengenalan program pra-pelepasan memberi banyak kemudahan kepada jemaah haji negara sebaik sahaja mereka sampai di lapangan terbang Jeddah atau Madinah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pra-pelepasan bermakna 'lampu hijau' untuk pasport dan kastam akan diberikan seawal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jelasnya, jemaah juga akan terus keluar dari lapangan terbang tanpa pemeriksaan sebaik sahaja sampai ke destinasi.

"Kita harap dengan kerjasama kerajaan Arab Saudi, ia akan dipanjangkan pada musim haji akan datang dan umrah.

"Ini pilot projek. Malaysia menjadi negara pertama yang dibenarkan untuk melakukan program pre-clearance oleh kerajaan Arab Saudi. Ia pengktirafan kepada Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.

Jelasnya, ia akan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada tujuh penerbangan terakhir haji tahun ini.

Kuota Jemaah haji Malaysia dikembalikan kepada 27,900 orang tahun ini berbanding 22,230 sebelum ini.

Tabung Haji (TH) dalam kenyataannya sebelum ini berkata, kerajaan Arab Saudi mengembalikan kuota berkenaan setelah pengurangan kuota jemaah haji terhadap jemaah asing dikuatkuasakan pada 2013.