Malaysia akan mempengerusikan Mesyuarat Pegawai Kanan Luar Biasa Maya (VESOM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengenai pandemik COVID-19 pada 27 Mei, berbeza daripada Mesyuarat Pegawai Kanan konvensional sebelum ini yang dijalankan secara fizikal dengan penyertaan digital yang terhad.

Mesyuarat itu, yang akan diadakan pada 7 malam, merupakan respons yang proaktif dan penting kepada pernyataan Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) APEC yang dikeluarkan pada 5 Mei, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"VESOM yang akan datang akan memberi tumpuan kepada pengoperasian penyataan MRT APEC mengenai COVID-19.

"VESOM dijangka membincangkan isu-isu utama berkaitan pemulihan ekonomi selepas COVID untuk rantau ini, selain memastikan usaha dilakukan untuk mengurangkan impak kesihatan daripada krisis tersebut yang terus memberikan hasil positif," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

MITI berkata mesyuarat itu akan turut meninjau kemungkinan inisiatif kerjasama antara 21 ekonomi APEC yang boleh membawa kepada penyelesaian serantau jangka panjang untuk pemulihan ekonomi yang mampan.

Selain daripada wakil sektor awam dari 21 ekonomi anggota APEC, VESOM akan turut menyaksikan penyertaan daripada penggiat sektor swasta melalui Majlis Penasihat Perniagaan APEC.

MITI berkata majlis itu dijangka memberi pandangan mengenai peranan yang ditakrifkan semula untuk sektor awam dan swasta dalam dunia selepas COVID.

Dengan ekonomi anggota APEC yang merangkumi empat benua dan beroperasi dalam lapan zon waktu yang berbeza, VESOM ini boleh menjadi permulaan kepada normal baharu untuk mesyuarat APEC pada masa depan, katanya.

Antara lain, pernyataan MRT APEC mengenai COVID-19 menyatakan ekonomi anggota akan memudahkan aliran barangan dan perkhidmatan penting untuk memerangi pandemik tersebut termasuk ubat-ubatan, bekalan dan peralatan perubatan, pertanian dan produk makanan serta bekalan lain merentasi sempadan, dan mengurangkan gangguan kepada rantaian bekalan global.

"Kami akan turut memastikan hubungan perdagangan kekal terbuka dan mengkaji cara-cara untuk memudahkan pergerakan penting individu merentasi sempadan, tanpa menjejaskan usaha untuk mencegah penularan virus tersebut. Kami akan bekerjasama erat untuk mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang halangan perdagangan yang tidak wajar," katanya.

-- BERNAMA