Malaysia perlu bangunkan infrastruktur dan sistem e-dagang yang efisien - Gobind

Malaysia perlu bangunkan infrastruktur dan sistem e-dagang yang efisien - Gobind
Gobind Singh (kiri) menyampaikan Anugerah Role Model Industri kepada Md Rejab Chin (tengah) pada Majlis Anugerah Industri Penghantaran E-Dagang di Kuala Lumpur, 11 Okt, 2018. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu membangunkan infrastruktur dan sistem e-dagang yang berdaya tahan, inklusif dan efisien sebagai platform strategik bagi pembangunan sosio-ekonomi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata e-dagang adalah pencetus perubahan yang memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan media untuk mengembangkan perniagaan mereka di luar sempadan menerusi rantaian bekalan global.

"Memandangkan lebih banyak produk terdapat di pasaran dan mudah diakses oleh warga global, e-dagang akan memacu industri pos dan kurier ke tahap perkhidmatan baharu dan seterusnya pencapaian yang tinggi untuk industri," katanya dalam ucaptama pada Majlis Anugerah Penyampaian E-Dagang 2018 di sini malam ini.

Beliau menekankan tentang misi untuk membina sistem yang lancar untuk mencapai tahap kecekapan e-dagang sambil menambah tahap kesalinghubungan yang berbeza diperlukan jika Malaysia ingin berjaya dalam era digital ini ketika negara, syarikat dan rakyat bersaing dalam dunia tanpa sempadan hari ini.

"Oleh itu, kita harus mendefinisi semula hubungan baik dalam bidang jalur lebar dan perkhidmatan yang memenuhi kepuasan pelanggan untuk membolehkan kita memaksimumkan faedah ekonomi digital," kata beliau.

Gobind Singh berkata kementerian mengakui peranan strategik yang dimainkan oleh industri pos dan kurier dalam industri yang semakin menyerlah, terutama dalam e-dagang.
"Oleh itu, amatlah penting bagi kementerian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan industri untuk mencorakkan masa depan industri ini bersama-sama dengan meningkatkan piawaian industri dan menyediakan kesalinghubungan yang berkualiti dan sentiasa sedia ada," katanya.

Beliau berkata e-dagang di Malaysia masih di peringkat awal pembangunan dan trend e-dagang di negara ini memerlukan kementerian untuk mewujudkan visi yang berani dan pelan strategik untuk industri perkhidmatan pos dan kurier.

"Jumlah per kapita Bungkusan Ekspres Kurier (CEP) kita kini hanya lima pakej dan Malaysia dapat mencapai potensi per kapita CEP antara 20 dan 30 pakej atau pasaran sekitar satu bilion pakej setiap tahun menjelang 2025," katanya.

BACA: Tukar KP Finas tiada kaitan audit dalaman - Gobind Singh

BACA: Kerajaan gantung sementara tindakan di bawah Akta Hasutan 


Beliau berkata itu adalah ramalan yang cermat kerana China telah melepasi 23 per kapita CEP dan jumlah yang lebih tinggi telah dicatatkan di negara maju seperti United Kingdom (33) dan Jerman (34) manakala di Thailand, syarikat kurier terbesar kini mengendalikan kira-kira satu juta pakej sehari.

Di Malaysia, kurier terbesar pada masa ini mengendalikan kira-kira 600,000 pakej sehari pada waktu puncak seperti musim Hari Raya.

"Trend ini menuntut kementerian mewujudkan visi yang berani dan pelan strategik bagi industri perkhidmatan pos dan kurier berpandukan objektif dasar pada peringkat tinggi," katanya.

Ini termasuk memodenkan dasar, pengawalan dan penyediaan perkhidmatan pos sejagat dengan mengambil kira keperluan masyarakat Malaysia serta mempromosikan persaingan yang adil, pertumbuhan dan inovasi dengan meningkatkan penanda melalui instrumen pelesenan.

"Selain itu, ia juga untuk memupuk keyakinan pengguna yang tinggi melalui penguatkuasaan piawaian perkhidmatan minimum dan menetapkan langkah-langkah keselamatan, kerana industri ini bertindak sebagai barisan pertahanan pertama negara dalam usaha memerangi barangan yang berbahaya dan dilarang.

"Peningkatan tahap produktiviti tenaga kerja melalui automasi, latihan yang betul, dan penggunaan teknologi ialah satu lagi objektif," kata beliau.

-- BERNAMA