Fenomena banjir bukanlah satu perkara baharu di negara ini.

Setiap kali berlaku banjir besar, pastinya apa yang perlu dilakukan ialah menempatkan mereka yang terjejas di pusat pemindahan sementara.

Ini mungkin perkara biasa yang dilakukan setiap tahun.

Namun, daripada satu sudut, bagaimana negara dapat pastikan pengurusan bencana banjir dilakukan dengan baik melalui langkah-langkah pencegahan sehingga tidak perlu terlalu fokus kepada usaha menempatkan penduduk di pusat pemindahan.

Bagi Pensyarah Kanan, Fakulti Razak dalam Teknologi dan Informatik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur, Dr Khammarul Azahari Razak, berpendapat fenomena banjir setiap tahun tidak dapat dielakkan.

Namun, bagaimana penduduk dan sesebuah negara berjaya menguruskan risiko banjir perlu dilakukan.

Pakar Pengurusan risiko bencana itu berkata, kos yang terlalu tinggi merupakan antara kekangan dan cabaran besar dalam pengurusan banjir.

"Dalam konteks Malaysia, kita perlu memahami pengurangan risiko banjir memerlukan sumber kewangan yang besar.

"Sebagai contoh kita tak mahu lagi berlaku banjir pada tahun depan. Ini perkara mustahil dengan keadaan pembangunan, jumlah penduduk, bagaimana tabiat manusia itu sendiri kepada sungai sebagai contoh," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau percaya ada peruntukan secara berterusan yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada setiap negeri bagi mengurangkan risiko banjir.

"Kita faham ada kerajaan negeri, daerah-daerah yang sinonim dengan banjir tetapi tidak berupaya untuk membuat pelaburan besar serta untuk mengurangkan risiko secara drastik," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, Room For The River yang dilaksanakan Belanda boleh dijadikan sebagai contoh model kepada Malaysia dalam pencegahan risiko banjir dan pengurusan sungai.

"Model dibangunkan Belanda ini bagaimana mereka cuba buat pelaburan hampir 3 bilion euro untuk mengurangkan risiko banjir secara drastik pada 2007 hingga 2015.

"Kita tahu negara Belanda itu di bawah paras air laut, jadi potensi untuk berlaku banjir itu memang tinggi. Jadi kerajaan mereka buat pelaburan besar untuk cuba mengurangkan risiko dengan memberi ruang kepada sungai," ujar beliau lagi.

Melalui program Room for the River, sungai diberikan lebih ruang untuk mencegah bencana banjir dan sekali gus memastikan penduduk tidak perlu berpindah.

Matlamat utama program berkenaan bukan sahaja mencegah bencana, namun pada masa sama memelihara alam sekitar dan kualiti sungai.

Berbeza dengan keadaan di Malaysia, sungai hanya dilihat sebagai satu entiti.

"Maknanya penduduk yang tinggal di rizab sungai, kita tidak galakkanlah. Namun di Belanda, turut dibangunkan rizab ini sebagai mengurangkan risiko banjir itu model yang pertama yang boleh kita kupas lebih lanjut," katanya lagi.

Malah, model yang digunakan Belanda juga boleh digunakan untuk menangani risiko banjir kilat yang kerap berlaku di banyak kawasan termasuk di ibu negara.

Sistem saliran sedia perlu diteliti semula selaras dengan peningkatan jumlah penduduk di sesebuah bandar atau kawasan.

"Apa yang boleh kita belajar dari mereka (Belanda dan Jepun) iaitu perhatian khusus untuk menguruskan elemen risiko dan bukan menguruskan bencana iaitu aspek-aspek yang menyumbang kepada bencana seperti banjir kilat.

"Mungkin kita boleh teliti sistem saliran sedia ada. Mungkin bandar itu dibangunkan 50 tahun lepas untuk jumlah penduduk yang sedemikian. Namun apabila 30 tahun kemudian, jumlah penduduk bertambah dan sistem saliran yang sama digunakan," ujarnya.

Pada masa sama, sikap membuang sampah kalangan sesetengah masyarakat di negara ini menyebabkan usaha mengurangkan risiko banjir berkenaan berdepan jalan sukar.

"Tabiat sesetengah masyarakat yang membuang sampah di sungai dan di sistem saliran yang menyumbat beberapa kawasan termasuk aktiviti pembangunan di mana sampah tidak diuruskan dengan baik," kata beliau.

Proses untuk mengurangkan risiko banjir juga memerlukan penelitian yang khusus.

Ia termasuk menambah baik sistem amaran awal banjir ketika ini.

"Sebagai contoh yang diuruskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dikenali sebagai Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN). Sistem ini perlu diteliti bagaimana mesej tersebut sampai kepada penduduk sebelum banjir berlaku," katanya.

Mungkin masih jauh untuk negara menjadi seperti Belanda atau negara maju lain seperti Jepun dalam menguruskan sungai dan risiko banjir.

Namun, setidak-tidaknya usaha ke arah itu perlu dilakukan dengan berkesan.

Atau, buat masa sekarang, pentingnya penduduk berpindah awal sebelum berlakunya banjir.


PENTINGNYA ELEMEN RISIKO BENCANA

Justeru, beliau mencadangkan elemen risiko bencana diberi penekanan sebelum melakukan perancangan pembangunan.

"Ada sesetengah tempat memang meneliti dan mengambilnya (elemen risiko bencana). Saya terlibat dalam penjanaan pengeluaran garis panduan rancangan pembangunan untuk menjadikan bandar-bandar berdaya tahan bencana. Itu usaha dimainkan kerajaan persekutuan dalam mengeluarkan garis panduan.

Elemen risiko bencana wujud, namun ia tidak dilaksanakan secara menyeluruh sebelum sesuatu perancangan pembangunan dilakukan.

"Saya percaya sebelum ini ada dikeluarkan tetapi tidak secara komprehensif. Jadi apabila aspek pengurangan risiko bencana, DIR ini dimasukkan dalam elemen perancangan pembangunan ia adalah lebih baik berbanding kita menanti itu datang, banjir itu berlaku. Cuma kita berinteraksi melalui garis panduan," katanya lagi.