Malaysia perlu keluar daripada terus bergantung kepada ekonomi tradisional jika ingin menjadi negara maju, kata Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan perlu mencari sistem ekonomi baharu dan pelaburan yang berkualiti untuk memastikan hasrat menjadi negara maju tercapai.

Menurut Mustapa, usaha kerajaan untuk menerokai revolusi industri 4.0 perlu disokong kerana ia mampu membawa negara kepada sistem ekonomi baru atau digital.

"Kita perlu keluar daripada ekonomi tradisional ini, kita tahu kalau kita terlalu bergantung kepada getah dan kelapa sawit, harganya tidak menentu.

"Ini mendedahkan kita kepada risiko yang tinggi maka inovasi modal insan amat penting jadi kita lihat secara terperinci perkara ini," katanya dalam rancangan bual bicara Agenda AWANI.

Selain itu beliau juga berharap agar kerajaan berhati-hati dalam usaha mengukuhkan keududukan kewangan negara agar ia tidak menjejaskan pembangunan negara.

Mustapa berkata kerajaan perlu mencari jalan tengah bagaimana untuk mengukuhkan kedudukan kewangan ketika mana hutang negara yang didakwa mencapai lebih RM 1 trilion.

"Kita harap kerajaan akan mencari satu jalan tengah bagaimana untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara dalam masa sama tidak menjejaskan pembangunan khususnya di luar bandar," katanya lagi.

Mustapa berkata demikian ketika diminta mengulas pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), di Dewan Rakyat, oleh perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berharap kerajaan dapat membantu sektor keusahawanan kecil dan sederhana agar ia dapat menjadi sebahagian daripada pembekal dunia.

Selain itu, Mustapa juga berharap kerajaan juga menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda yang baru menamatkan pegajian di institusi pengajian tinggi.

"Kerajaan perlu mencari kaedah-kaedah yang kreatif untuk menarik lebih banyak pelaburan asing masuk ke dalam negara dan ia dapat memantapkan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.

Mustapa mengalu-alukan usaha reformasi institusi dan meningkatkan ketelusan serta tadbir urus yang dianggap penting untuk memastikan negara berada pada landasan yang kukuh untuk menghadapi cabaran masa depan.