Malaysia perlu mencontohi Indonesia dan China dalam memperkasa bahasa kebangsaannya kata Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka, Datuk Dr Awang Sariyan.

Jelasnya antara langkah yang boleh dilakukan adalah dengan mewujudkan dasar yang mewajibkan semua penjawat awam di semua peringkat menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi, termasuk di luar negara.

"Sewaktu saya di China, Megawati (Megawati Sukarnoputri), beliau diwawancara oleh satu stesen penyiaran berbahasa Inggeris. Apabila ditanya soalan dalam Bahasa Inggeris, beliau terus menjawab dalam bahasa Indonesia.

“Tidak mungkin dia tidak faham, kalau dia tidak faham, dia akan tanya soalan tadi. Tapi tidak ada. Beliau ditanya dalam bahasa Inggeris dan beliau terus menjawab dalam bahasa Indonesia. Maka stesen televisyen berkenaan terpaksa melakukan terjemahan tersebut di bahagian sari kata,” tambah Awang.

Tambah Awang, Bahasa Melayu juga perlu muncul semula sebagai bahasa antarabangsa namun dana terjemahan bagi bahasa-bahasa utama yang lain perlu diperuntukan.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Pengumuman Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 di menara DBP pada Khamis.

Pada masa yang sama, beliau juga berharap Malaysia dapat memfokuskan penerokaan ilmu dan penghasilan karya kreatif dalam penggunaan Bahasa Melayu berbanding isu perjuangan.

"Sepatutnya sudah 60 tahun kita merdeka, tiada lagi masalah jika Bahasa Melayu sudah atau belum digunakan sepenuhnya dalam pentadbiran, mahkamah, pendidikan. Kedudukan Bahasa Melayu yang dilihat seperti pasang surut ini tidak sepatutnya berlaku.

“Kita banyak lagi kerja yang boleh dilakukan tapi saya ingat kalau kita sibuk memperjuangkan status bahasa melayu, kejap itu kejap ini, masa itu terbuang untuk perjuangan, bukan dalam penerokaan ilmu,” tambahnya lagi.