Malaysia perlu segera menyesuaikan diri dengan perubahan budaya dan struktur trend tenaga kerja masa kini terutamanya yang melibatkan anak-anak muda, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, ini termasuk menyediakan persekitaran kerja yang sesuai dan menjadi lebih fleksibel untuk pekerja muda memaksimumkan potensi mereka.

"Tenaga kerja muda hari ini mempunyai urusan kepentingan dan gaya hidup yang berbeza dan situasi ini akan memberi banyak manfaat kepada semua orang, sekiranya kita menerimanya dan bukan menentang.

"Masa untuk pengenaan moral telah berlalu dan jika kita benar-benar menghargai proses mendidik generasi, kita perlu menerima dan memudahkan ia agar menuju ke arah matlamat bersama," katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Our Young Human Capital - Our Hope, Our Future' pada Sidang Kemuncak Modal Insan Tun Abdullah Ahmad Badawi ke-2, di sini hari ini.

Beliau berkata, jika trend yang pelbagai itu dipermudahkan, ia akan menghasilkan lebih banyak modal insan yang berilmu, iaitu faktor terpenting dalam ekonomi berpengetahuan.

Khairy berkata, satu anjakan paradigma dalam melengkapkan belia juga perlu diwujudkan sebagai inisiatif untuk meningkatkan modal insan terkini dengan memperlengkapkan mereka, terutamanya kanak-kanak dengan era digital.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk anak-anak belajar keperluan bahasa masa depan iaitu pengekodan komputer dan pengaturcaraan kemahiran sambil menambah bahawa dunia kini berubah dengan pesat, dunia digital dilengkapi dengan penguasaan pengetahuan ekonomi yang memaksa kerajaan untuk menyesuaikan diri dengan cepat agar tidak ketinggalan.

Persidangan yang bertemakan 'Enhacing Human Capital for Competitive Economy' itu dianjurkan dengan tujuan untuk menghimpukan pegawai kanan kerajaan, ahli perniagaan, para akademik dan penyedia latihan untuk membincangkan isu utama yang dihadapi dalam pembangunan modal insan di Malaysia serta merangka jalan masa depan untuk negara dan organisasi.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan ucaptama pada majlis sehari yang dianjurkan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) dan Alumni High School Bukit Mertajam itu.