Malaysia perlu segera mewujudkan senarai pesalah laku seksual serta akta berkaitan bagi mencegah dan melindungi masyarakat daripada serangan jenayah berkenaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ia membolehkan masyarakat menyemak senarai tersebut serta berjaga-jaga sekiranya pesalah laku seksual tinggal di kawasan perumahan mereka.

Beliau berkata senarai itu akan diletakkan di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana keupayaan agensi itu untuk mengawasi dan melakukan siasatan berhubung jenayah tersebut.

"Senarai pesalah laku seksual ini telah diamalkan di negara-negara barat, jadi penyerang seksual akan didaftarkan dan akan disebarkan kepada umum," katanya kepada pemberita selepas majlis menyalakan lampu sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Jalan Tan Hiok Nee di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan seorang rakyat Malaysia yang mungkin akan pulang ke negara ini selepas selesai menjalani hukuman penjara selama 24 tahun di Kanada.

Lelaki terbabit yang dipenjara pada 1992 atas kesalahan serangan seksual, dadah serta kesalahan lain dilapor akhbar negara itu, dijangka selesai menjalani hukuman pada hujung bulan ini.

Nur Jazlan yang juga Anggota Parlimen Pulai bagaimanapun berkata Malaysia belum dimaklumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa Kanada berhubung perkara itu.

"Tetapi kita tahu sebab sudah keluar kenyataan di akhbar di Kanada. Kita belum dimaklumkan secara rasmi," katanya.

-- BERNAMA