Malaysia bercadang mengguna pakai sistem saringan keselamatan awal ke atas pelawat bertujuan menyekat kemasukan individu tidak diingini seperti pengganas, penjahat dan sebagainya.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penggunaan sistem yang dipanggil 'Automated Targeting System-Global' (ATS-G) itu ditawarkan agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat.

"Melalui kaedah ini, setiap pelawat yang ingin datang ke Malaysia dapat kita saring lebih awal supaya kalau mereka ini merupakan elemen yang tidak diingini, kita akan dapat mengesannya dengan lebih awal.

"Ini bagi memastikan mereka tidak membawa apa-apa keburukan kepada negara kita," kata Muhyiddin kepada Bernama selepas mengunjungi beberapa institusi keselamatan Amerika Syarikat di sini.

Muhyiddin kini melakukan lawatan kerja ke Washington DC bertujuan mengukuhkan jalinan kerjasama dalam bidang keselamatan antara Malaysia dan Amerika Syarikat. Beliau akan turut melawat New York.

Muhyiddin berkata melalui sistem itu, Malaysia akan dapat berkongsi kandungan pangkalan data Amerika Syarikat bertujuan membantu negara menguruskan hal-hal berkaitan kemasukan pelawat.

Menurutnya, pihak CBP yang dikunjunginya menyatakan kesediaan menghantar pegawai untuk perbincangan lanjut dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai bantuan yang boleh diberi kepada Malaysia.

"Dia nak tawarkan (ATS-G) dengan percuma. Kalau kita guna sistem lain kita perlu bayar tapi sistem ini kita tak perlu bayar jadi jimatkan kos bagi pengurusan pintu masuk negara kita," jelas Muhyiddin.

Amerika Syarikat, kata menteri itu, mempunyai data yang cukup banyak kerana ia bukan hanya dari negara itu sendiri malah dari negara-negara sahabat yang bekerjasama dengannya.

"(Sistem) itu mempunyai kelebihan yang saya fikir boleh membantu menjamin pintu masuk Malaysia adalah ketat dan tidak ada individu yang tidak diingini boleh membolosi negara kita," kata Muhyiddin.

Menurutnya, ini sebahagian daripada usaha menyediakan sistem imigresen baharu bagi menggantikan sistem sedia ada yang digunakan Jabatan Imigresen sejak sekian lama.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia berminat mempelajari pengalaman Amerika Syarikat dalam soal penubuhan agensi tunggal untuk mengawal pintu masuk negara.

Katanya, selain Amerika Syarikat, negara lain seperti Singapura dan Australia telah mewujudkan agensi seumpama itu.

"Maklumat mengenai perkara ini kita perlukan untuk membantu langkah ke arah itu yang sedang diambil berpandukan kepada keputusan mesyuarat jawatankuasa Kabinet beberapa bulan lepas," katanya.

Beliau merujuk kepada mesyuarat 3 Julai lalu yang secara dasarnya bersetuju agar kajian cadangan penubuhan badan tunggal menjaga sempadan negara dan pintu-pintu masuk termasuk pelabuhan dilaksanakan.

Muhyiddin turut mengadakan pertemuan dengan Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Christopher Wray dengan perbincangan berkisar tentang usaha meningkatkan kerjasama dalam bidang latihan dan pembangunan sumber manusia.

"Di samping itu, kerana dia terlibat rapat dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, kita mohon supaya kerjasama ini diberikan khususnya dalam soal berkaitan isu 1MDB," katanya.

-- BERNAMA