Penghantaran pasukan pengaman Malaysia ke Palestin hanya akan dilakukan jika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memerlukan pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi pengaman di negara bergolak itu.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Johari Baharum berkata pembabitan Malaysia dalam beberapa misi pengaman di bawah panji-panji PBB bukan sesuatu yang baharu seperti penghantaran Pengaman Malaysia (Malbatt 850-5) di Lubnan ketika ini di bawah panji-panji PBB.

"Memang kita (ATM) terlibat dalam misi-misi pengaman seperti ini, walau bagaimanapun sama ada diperlukan, kita bergantung dengan pihak PBB.

"Kita tidak akan membuat sesuatu (misi pengaman) tanpa pengetahuan PBB," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Inovasi peringkat Kementerian Pertahanan 2017 di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, dan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis menimbulkan ketegangan baharu di Palestin ketika ini.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar, Bangladesh yang mula beroperasi 29 November lalu telah menerima pesakit dan melakukan beberapa operasi pembedahan.

Beliau berkata pihak ATM menyediakan kemudahan asas struktur hospital manakala operasinya diurus Kementerian Kesihatan.

Seramai 50 kakitangan Kementerian Kesihatan mengendalikan hospital itu untuk membantu pelarian Rohingya mendapat rawatan kesihatan.

Pada 26 November lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara yang terlibat adalah pakar perubatan, pakar perubatan kesihatan awam, pegawai perubatan, jururawat, pegawai farmasi, juruteknologi makmal serta penolong pegawai kesihatan persekitaran.

Hospital Medan yang setaraf hospital daerah berpakar bernilai RM3.5 juta dengan keluasan 100 x 70 meter itu terletak di wilayah Ukhiya, kira-kira 10 minit perjalanan dari kem-kem utama iaitu Kem Pelarian Kutupalong dan Bhalukali.

-- BERNAMA