Malaysia buat julung kalinya akan memberikan sumbangan kemanusiaan melalui High Level Pledging Event bagi krisis kemanusiaan di Yaman yang akan diadakan di Geneva, Switzerland Selasa depan.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pemberian sumbangan sebanyak AS$100,000 (RM407,000) itu merupakan yang pertama sejak majlis berkenaan ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dua tahun lalu.

“Sumbangan itu sebagai manifestasi sokongan berterusan Malaysia terhadap usaha untuk menangani keperluan rakyat Yaman.

“Setiausaha Agung PBB menulis surat kepada PM dan meminta Malaysia menyertai program itu. Saya akan wakili Malaysia ke Geneva buat penyertaan pada kali pertama ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Simposium dan Pameran Fotografi Stand With Yemen pada Sabtu.

Simposium itu merupakan anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bersama beberapa gabungan individu bertujuan menggerakkan rakyat malaysia dalam memainkan peranan lebih aktif membantu mengurangkan penderitaan dan kesengsaraan mereka.