Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia dan Singapura mempunyai peranan untuk dimainkan di rantau Asia Tenggara dan kedua-duanya boleh menjadi sangat berkesan dalam membantu seluruh rantau ini berkembang.

Perdana Menteri berkata, pembentukan ASEAN, sebuah kumpulan dianggotai 10 negara, "adalah sangat penting."

Dr Mahathir berada di negara pulau ini untuk lawatan rasmi selama dua hari mulai hari ini, di mana beliau akan menyertai sembilan ketua kerajaan lain untuk Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33.

Beliau berucap pada majlis makan tengah hari rasmi untuk beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang dihoskan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching di The Istana di sini.

"Sekiranya kita boleh ingat ASEAN ditubuh oleh lima negara, termasuk Singapura, bukannya disebabkan oleh hubungan ekonomi tetapi kerana kita perlu menyelesaikan pelbagai masalah hubungan rapat dengan jiran-jiran.

"Apabila kita mencapai kemerdekaan, kita sangat agresif dalam banyak keadaan dan kita berhadapan dengan satu sama lain. Kita tidak menganggap satu sama lain sebagai rakan dan jiran. Kita melihat satu sama lain sebagai pesaing yang kuat yang tidak akan melakukan sesuatu yang baik untuk kita.

"Tetapi ia berlaku selepas konfrontasi dengan Indonesia. Pemimpin Indonesia memutuskan bahawa tidak ada apa yang diperoleh daripada konfrontasi tersebut dan mereka mencadangkan kumpulan ASEAN yang terdiri daripada lima negara. Dan daripada lima, kita telah berkembang menjadi 10 negara," katanya.

Menurut Perdana Menteri tidak banyak persatuan serantau di seluruh dunia yang terselamat, kecuali ASEAN.

"ASEAN bukan sahaja selamat tetapi terus bekerjasama rapat dan diharapkan akan terus berbuat demikian," katanya.

ASEAN atau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, adalah pasaran yang mempunyai 642 juta penduduk dan berkembang pada kadar 5.9 peratus, jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan ekonomi global sebanyak 3.8 peratus.