Kerajaan bersetuju menangguhkan penggunaan petrol dan diesel berkualiti tinggi yang mengikut standard bahan bakar Eropah atau RON95-Euro 4M sehingga 1 Jan 2020, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata Malaysia sepatutnya mengguna pakai petrol RON95-Euro 4M pada Disember tahun lepas.

Katanya, perkara tersebut telah dibawa kepada pengetahuan Kabinet dan mendapat persetujuan untuk ditunda penggunaannya.

"Kita telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat minyak untuk kita melanjutkan tempoh penggunaannya di Malaysia sehingga 2020," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Petronas Primax 95 dengan Pro-Drive, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan masih belum bersedia untuk melaksanakan penggunaan bahan bakar RON95-Euro 4M kerana kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan perlu menumpukan kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Namun begitu, penangguhan (penggunaan RON95-Euro 4M) tidak akan berlarutan dengan terlalu lama kerana negara terikat dengan komitmen perjanjian antarabangsa yang memerlukan kita menyumbang kepada persekitaran yang lebih sihat," tambahnya.

-- BERNAMA