Malaysia mengambil pendirian serius dan bertekad untuk merungkai perkara sebenar berhubung pembunuhan warga Korea Utara, dilaporkan secara meluas sebagai Kim Jong-nam, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) baru-baru ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata kerajaan juga bertekad untuk membawa ke muka pengadilan mereka yang bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

"Apa yang saya ingin katakan bahawa jenayah telah dilakukan di Malaysia, dan kami juga sedar bahawa bahan yang digunakan adalah bahan kimia amat bahaya yang tidak sepatutnya digunakan langsung, kerana jika (bahan itu) digunakan dalam kuantiti banyak, ia akan membawa kematian kepada banyak orang, bukan hanya satu orang," katanya.

Najib berkata demikian dalam wawancara eksklusif oleh Al Arabiya News Channel bersempena dengan lawatan negara bersejarah Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Malaysia baru-baru ini.

Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara dilawati Penjaga Dua Kota Suci itu sejak baginda menaiki takhta pada 2015.

Dalam wawancara itu, dikendalikan oleh Pengurus Besar Al Arabiya, Turki Aldakhil, yang meliputi pelbagai topik, khususnya hubungan Kuala Lumpur-Riyadh, Najib ditanya mengenai perkembangan terkini penyiasatan kes pembunuhan Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un di klia2 pada 13 Feb.

Dilaporkan Jong-nam sedang menunggu untuk menaiki penerbangan ke Macau di klia2 apabila dua wanita secara tiba-tiba menyapu mukanya dengan cecair yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam dilaporkan meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia semasa dalam perjalanan. Beliau menggunakan pasport yang tertera nama Kim Chol.

Menegaskan lebih lanjut, perdana menteri berkata pihak berkuasa perlu menjalankan pemeriksaan DNA untuk menentukan identiti si mati.

"Ini merupakan prosedur biasa dan kami sedang menunggu sampel DNA untuk mengenal pasti mayat.

"Jadi kami tidak boleh menyerahkan mayat selagi kami tidak dapat menentukan tanpa was-was identiti mangsa atau si mati," katanya. -- Bernama