Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin berkata, kerajaan masih meneliti jemputan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak Khas ASEAN, tahun hadapan.

Menurut beliau, keutamaan yang perlu diberikan kerajaan ialah menilai peranan yang boleh dimainkan Malaysia dalam sidang kemuncak itu nanti.

“Kita sedang melihat apakah agenda yang dicadangkan tetapi sudah tentu Malaysia memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa untuk memberi pandangan berkenaan isu semasa.

"Saya percaya perkara ini sedang diteliti dan sebaik sahaja kita dapat maklumat lebih jelas berkenaan mengapa sidang kemuncak ini dipanggil, kita akan tengok apa peranan yang boleh dimainkan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perasmian Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2019, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di ibu negara pada Rabu.

Laporan media sebelum ini menyebut Trump mengundang pemimpin ASEAN untuk menghadiri satu sidang kemuncak khas di AS pada suku pertama 2020 selepas dua tahun berturut-turut beliau tidak hadir di Sidang Kemuncak ASEAN.