Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage berkali-kali mengungkapkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Malaysia atas sokongan dan semangat solidariti yang dipamerkan pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian hari ini.

Ucapan terima kasih Nottage turut ditujukan khas kepada ketua negara, Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menghargai keprihatinan negara ini susulan insiden berdarah serangan pengganas di dua masjid yang mengorbankan 50 umat Islam di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lalu.

“Lapan hari lalu, New Zealand diserang pengganas. New Zealand berasa sangat sedih.

"Dengan rasa dukacita yang amat mendalam, saya menyampaikan ucapan takziah, belas kasihan dan simpati daripada Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern dan semua rakyat New Zealand.


"Terima kasih kerana berada di sini pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian.

"Malang sekali mangsanya termasuk rakyat Malaysia. Ingatan kami sentiasa bersama anda, keluarga anda yang sebahagian daripadanya berada di sini, dan komuniti anda," katanya dalam ucapannya di Dataran Merdeka.

“Kami turut sama berduka bersama anda. Memetik kata perdana menteri, ‘mereka adalah kita’. Apabila kita derita, seluruh tubuh turut merasai kesakitannya. Kami memohon maaf.

“Pada Khamis lalu, saya meletakkan jambangan bunga di Istana Negara dengan rasa sedih.




"Bagaimanapun, kami amat terharu dan bersyukur apabila Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri turut sama menunjukkan sokongan dan simpati mereka atas apa yang berlaku,” tambahnya, dalam nada sugul.

Nottage turut terharu apabila beliau dikunjungi lebih daripada 50 badan bukan kerajaan dan berkongsi kesedihan sepanjang minggu ini.

“Kami berpelukan, kami bercakap dan kami menangis bersama. Terima kasih kerajaan Malaysia atas sokongan anda. New Zealand amat berterima kasih kepada Malaysia. Terima kasih,” katanya.

Nottage menarik perhatian bahawa banyak perhimpunan umum yang diselubungi kesedihan dianjurkan di New Zealand, termasuk perhimpunan serta solat di seluruh negara pada Jumaat, suatu cerminan kepada kebersamaan serta saling menghormati.