Malaysia amat berhati-hati untuk berbelanja terlalu banyak wang menggantikan jet pejuang Rusia SU dan MiG dengan versi baharu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, namun kerajaan sentiasa melihat kemungkinan mendapatkan pesawat baharu dari negara itu.

"Kita mendapati ia (jet yang kini digunakan di Malaysia) sudah terlalu lama dan mungkin prestasinya tidak sebaik dengan versi baru, namun wang adalah suatu yang kita gusarkan. Menggunakan terlalu banyak wang untuk jet pejuang mahal amat tidak produktif bagi kita.

"Kita tidak mahu berperang dengan sesiapa," katanya ketika ditanya agensi berita Sputnik mengenai hasrat untuk menggantikan jet Rusia yang lama dengan jet Su-35 atau Su-57.

Menurutnya, Malaysia perlu memastikan tahap teknologi pasukan pertahanannya sentiasa dalam keadaan terbaik dan terkini.

"Ini adalah 'permainan' (model terbaru) yang mahal. Kita akan melihat kemungkinan mengkaji mengenai mendapatkan pesawat baru daripada Rusia dan jet yang lain," katanya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia mengkaji tawaran Rusia untuk mengambil semula jet pejuang MiG yang lama dan menggantikannya dengan MiG-35 tetapi semuanya membabitkan persoalan wang kerana negara tidak memperuntukkan banyak dana untuk pertahanan.

Katanya, Malaysia terpaksa menimbang dengan serius tawaran menyerahkan kembali jet lama kerana terlalu sukar menjual semula pesawat itu.

"Kita sebenarnya mengkaji tawaran mereka mengenai mengambil semula MiG lama dan membekalkan kepada kita dengan versi baharu, saya rasa MiG-35.

"Bagaimanapun, sudah tentu kita masih perlu membayar sejumlah besar wang dan Malaysia bukan sebuah negara yang membelanjakan banyak wang untuk pertahanan," katanya.

Dr Mahathir berkata, tawaran itu boleh memberi manfaat kerana negara mahu memastikan pasukan pertahanan berada di tahap tertinggi tanpa perlu banyak berbelanja.

"Hanya dua peratus daripada bajet diperuntukkan untuk pertahanan. Kami membelanjakan 25 peratus daripada bajet untuk pendidikan," katanya.

Perdana Menteri kini berada di bandar Vladivostok, Rusia untuk menghadiri Forum Ekonomi Timur yang akan berlangsung sehingga Jumaat.