Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Menangani Pembiayaan Pengganas (CTF) ketiga selama empat hari mulai 20 Nov ini, manifestasi sokongan dan komitmen negara dalam menangani pembiayaan untuk pengganas dan keganasan.

Sidang kemuncak CTF sebelum ini dianjurkan dan diasaskan bersama oleh unit risikan kewangan Australia dan Indonesia. Persidangan itu pertama kali berlangsung di Sydney pada 2015 dan Bali pada 2016.

Dalam kenyataan bersama, Bank Negara Malaysia (BNM), Laporan dan Pusat Analisis Transaksi Australia (AUSTRAC) serta Laporan dan Analisis Transaksi Kewangan Indonesia (PPATK Indonesia) berkata CTF ialah platform bagi negara peserta membangunkan bersama penyelesaian sebenar dalam menangani pembiayaan untuk pengganas.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sumber kewangan merupakan faktor utama yang menyumbang kepada pembangunan rangkaian pengganas.

"Malaysia komited untuk menyekat aliran kewangan kepada kumpulan pengganas bagi mengekang rantaian dan aktiviti berkaitan.

"Bagi memastikan pelaksanaan inisiatif ini berkesan, kerjasama kukuh dengan rakan serantau dan antarabangsa sangat penting," katanya.

Gabenor BNM Datuk Muhammad Ibrahim berkata sidang kemuncak tahun ini akan meliputi usaha sama untuk menggalakkan perkongsian strategik antara sektor awam dan swasta bagi memastikan tindakan berkesan kepada risiko pembiayaan keganasan.

Beliau berkata di bawah Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Pencegahan Wang Haram, bank pusat bersama pihak berkepentingan di negara lain, sudah bersedia untuk menyumbang ke arah hasil yang kukuh dalam usaha serantau untuk menangani pembiayaan keganasan.

Sementara itu, Menteri Keadilan Australia Michael Keenan berkata Sidang Kemuncak CTF sudah mempunyai reputasi dalam mencapai hasil sebenar, termasuk menyiarkan penilaian risiko serantau pertama seumpamanya bagi pembiayaan keganasan.

"Dengan merapatkan perhubungan dengan negara lain di Asia Tenggara dan Australia, kita boleh meningkatkan persefahaman serantau bagi menangani risiko pembiayaan keganasan dan kaedah bagi memerangi ancaman ini," katanya.

-- BERNAMA